Sharp Connect 2026 Bawa Penyelesaian Pintar Dan Saling Berhubung Ke Sabah
KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Sharp Electronics (Malaysia) Sdn Bhd berkembang melangkaui perkakasan rumah tradisional melalui 'Sharp Connect 2026', mempamerkan ekosistem penyelesaian pintar dan lebih berhubung untuk tempat kerja, pendidikan, hospitaliti serta sektor lain.
Diadakan di sini dengan kerjasama rakan strategiknya di Malaysia Timur iaitu Ambang Angkasa Sabah Sdn Bhd, acara ini menyerlahkan transformasi Sharp menjadi penyedia penyelesaian yang lebih luas, menggabungkan teknologi, kepakaran tempatan dan sokongan selepas jualan.
Pameran tersebut menampilkan empat bidang penyelesaian utama yang direka untuk menghubungkan persekitaran rumah dan tempat kerja sambil menunjukkan bagaimana teknologi boleh meningkatkan produktiviti, kerjasama serta kecekapan.
Pengarah Urusan Sharp Electronics (Malaysia), Ting Yang Chung berkata, Malaysia Timur, khususnya Kuching dan Sabah, dipilih sebagai destinasi pertama bagi inisiatif itu memandangkan potensi pertumbuhannya selain kerjasama syarikat dengan pemain tempatan yang sudah berlangsung agak lama.
"Kita pilih Malaysia Timur terutamanya Kuching dan Sabah sebagai stesen pertama disebabkan Sharp cuba membawa penyelesaian pintar untuk kerja-kehidupan ke sini.
"Seperti yang dikatakan, untuk waktu bekerja dan juga kehidupan di rumah, saya rasa kita perlu mengembangkan gaya kerja yang lebih pintar meliputi seluruh Sabah dan semua syarikat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran acara itu di sini hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan Sabah Datuk Chong Chen Bin melancarkan acara itu, dengan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Jordan Jude Ellron turut hadir.
Ting berkata Sharp juga merancang untuk membawa teknologi dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun sambil bekerjasama dengan rakan integrasi sistem Malaysia untuk membangunkan penyelesaian yang sesuai dengan keperluan tempatan.
Penyelesaian yang dipamerkan di acara itu termasuk sistem interaktif pintar, penyelesaian hospitaliti, teknologi penjagaan udara, pencetak pelbagai fungsi dan penyelesaian pendidikan yang direka bentuk bagi meningkatkan kerjasama serta ketersambungan.
Penyelesaian bersepadu seperti ini dijangka menjadi bahagian yang semakin penting dalam perniagaan Sharp Malaysia, dengan syarikat itu menyasarkan lebih 40 peratus hasil akan datang daripada penyelesaian perniagaan ke perniagaan menjelang akhir 2027.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Tempat Kerja Pintar Sharp Electronics (Malaysia), Levity Suto berkata pengembangan syarikat ke arah penyelesaian bersepadu mencerminkan peluang yang timbul daripada pendigitalan, khususnya dalam membantu perniagaan memacu produktiviti dan sistem sedia ada.
"In Step with Your Future merupakan slogan yang telah dilancarkan oleh Sharp Japan. Paling penting, ia adalah mengenai pemahaman dan penyelarasan dengan objektif pelanggan kami, memandangkan setiap orang mempunyai hasil yang berbeza yang mereka ingin capai," katanya.
Suti ketika mengulas mengenai cabaran ketersambungan di Sabah memberitahu peranti Sharp direka untuk berfungsi di kawasan yang mempunyai akses jalur lebar terhad, ia membolehkan modul dan perisian pendidikan disimpan terus pada peranti dalam menjamin kesinambungan pembelajaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ambang Angkasa, Datuk Ravend Naiker berkata penyelesaian bersepadu Sharp mampu memberikan kemudahan yang lebih besar kepada agensi kerajaan dan pelanggan korporat di Sabah dengan menawarkan akses kepada pelbagai teknologi termasuk perkhidmatan melalui satu pembekal.
"Kita yakin bahawa kita mempunyai produk yang baik. Kita mahu menonjolkan diri daripada persaingan, walaupun kita tidak boleh menghalang jenama lain daripada bersaing.
"Apa yang kita cuba beritahu khayalak, pelanggan dan pelanggan masa depan kita ialah: beri kita peluang. Kita mempunyai teknologi terkini dan bersedia untuk melayani anda dengan lebih baik,” katanya.
Menerusi Sharp Connect 2026, syarikat itu mahu memposisikan teknologinya di rumah, pejabat, bilik darjah, hotel, kemudahan penjagaan kesihatan, premis runcit dan operasi industri sambil ia bergerak ke arah menyampaikan penyelesaian yang lebih bersepadu serta berhubung.
-- BERNAMA