BERITA TERKINI   Kelompongan yang wujud termasuk berkaitan kemiskinan dan akses bantuan mesti ditangani segera - PM Anwar | Masyarakat India tidak akan dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara Kerajaan MADANI - PM Anwar | Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di Tok Bali, Pasir Puteh dijangka mula beroperasi November ini - Saifuddin Nasution | KDN sedia hadapi ancaman penyusupan, pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand - Saifuddin Nasution | Dua remaja selamat insiden lemas Tanjung Lompat masih dirawat di Hospital Kota Tinggi - Exco | 

Keselamatan Tenaga, Pelaburan Minyak Dan Gas Tidak Bercanggah Dengan Peralihan Tenaga - Shell Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Pelaburan berterusan dalam sektor minyak dan gas tidak bermakna usaha peralihan tenaga berundur, sebaliknya keselamatan tenaga kembali menjadi pertimbangan penting dalam industri, menurut Shell Malaysia.

Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Siti Hurrairah Sulaiman berkata matlamat untuk mewujudkan sistem tenaga rendah karbon kekal tidak berubah, namun industri kini mempunyai pemahaman yang lebih jelas mengenai keperluan untuk merealisasikan matlamat tersebut.

“Saya tidak fikir pemain industri, termasuk Shell, sedang berpatah balik dalam perjalanan peralihan tenaga. Keselamatan tenaga adalah sebahagian daripada peralihan tenaga. Kedua-duanya perlu bergerak seiring, bukan memilih salah satu daripadanya,” katanya pada sesi panel sempena Oil & Gas Asia 2026 di sini hari ini.

Ad Banner

Siti Hurrairah merupakan antara ahli panel forum bertajuk “The Future is Here – Going Beyond Borders”, yang turut disertai Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA) Abang Yusuf Abang Puteh dan Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Bhd Datuk Dr Kenneth Gerard Pereira.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai isyarat daripada beberapa pemain industri minyak dan gas, termasuk Shell, berhubung penekanan semula terhadap pelaburan baharu dalam sektor itu sebagai sebahagian daripada strategi peralihan tenaga, di samping tumpuan semula terhadap pelaburan huluan dan keselamatan tenaga.

Siti Hurrairah berkata krisis tenaga di Eropah, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, gangguan rantaian bekalan global serta perkembangan di Asia Barat mengukuhkan keperluan pemain industri mengambil kira keselamatan tenaga dalam strategi perniagaan dan organisasi masing-masing.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, permintaan tenaga di seluruh Asia terus meningkat, manakala tenaga boleh baharu dan penyelesaian rendah karbon lain tidak dapat menggantikan minyak dan gas dalam tempoh singkat.

“Justeru, jika kita melihat pemain industri, termasuk Shell, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat kesedaran besar bahawa kita perlu meneruskan pelaburan dalam minyak dan gas,” katanya.

Siti Hurrairah berkata masyarakat dan pelanggan bukan sahaja memerlukan tenaga bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, malah turut menginginkan sumber tenaga rendah karbon, sekali gus mencetuskan cabaran untuk menghasilkan minyak dan gas dengan pelepasan yang lebih rendah.

Beliau berkata keadaan itu menggariskan kepentingan gas asli dan gas asli cecair (LNG), tanpa mengira sama ada kedua-duanya dianggap sebagai bahan api peralihan atau bahan api destinasi.

Mengambil contoh projek gas Rosmari-Marjoram di Sarawak, Siti Hurrairah berkata projek itu sedang dibangunkan dan dijangka memulakan pengeluaran dalam beberapa bulan akan datang.

Projek berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran puncak reka bentuk sebanyak 800 juta kaki padu piawai gas sehari (MMscf/d).

Beliau berkata Shell menggunakan kriteria “daya saing karbon” yang ketat dalam membuat keputusan pelaburan akhir bagi projek minyak dan gas baharu, yang perlu membuktikan keupayaannya mengurangkan pelepasan.

Bagi projek Rosmari-Marjoram, katanya, sebanyak 240 panel solar sedang dipasang di luar pesisir untuk menjana tenaga elektrik bagi kemudahan pelantar, manakala kemudahan di darat akan menggunakan bekalan elektrik daripada grid Sarawak yang disokong oleh tenaga hidro.

-- BERNAMA