BERITA TERKINI   Kelompongan yang wujud termasuk berkaitan kemiskinan dan akses bantuan mesti ditangani segera - PM Anwar | Masyarakat India tidak akan dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara Kerajaan MADANI - PM Anwar | Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di Tok Bali, Pasir Puteh dijangka mula beroperasi November ini - Saifuddin Nasution | KDN sedia hadapi ancaman penyusupan, pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand - Saifuddin Nasution | Dua remaja selamat insiden lemas Tanjung Lompat masih dirawat di Hospital Kota Tinggi - Exco | 

Kerjasama Malaysia-SAR Macao Boleh Perkukuh Hubungan Ekonomi China-ASEAN - Sim

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kekuatan kewangan, rangkaian perdagangan dan kepakaran perkhidmatan Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Macao, digabungkan dengan keupayaan perindustrian Malaysia, boleh mewujudkan jambatan ekonomi kukuh yang menghubungkan China, ASEAN dan pasaran antarabangsa.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Sim Tze Tzin berkata SAR Macao berfungsi sebagai pintu masuk bertaraf dunia yang menghubungkan China dengan negara-negara Lusofon (negara-negara berbahasa Portugis) dan pasaran global yang dipacu oleh perkhidmatan dan inovasi elit.

"Transformasi ekonomi SAR Macao, khususnya melalui strategi "1+4" yang memberi tumpuan kepada pembangunan berteknologi tinggi, kewangan moden, perubatan tradisional Cina dan penjagaan kesihatan, adalah sesuatu yang patut dipuji.

Ad Banner

“Malaysia, yang terletak di tengah-tengah ASEAN, menawarkan integrasi serantau yang kukuh, infrastruktur bertaraf dunia dan tenaga kerja mahir,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Pemimpin Perniagaan SAR Macao, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Sim dan Ketua Eksekutif SAR Macao Sam Hou Fai.

Sam tiba di Malaysia semalam bersempena dengan lawatan kerja selama empat hari.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sim berkata Malaysia menyedari potensi besar untuk mengembangkan hubungan ekonomi dengan SAR Macao.

Beliau melahirkan keyakinan Malaysia akan menjadi destinasi pelaburan terbaik untuk syarikat SAR Macao berkembang kerana negara ini kini melonjak ke tangga ke-15 dalam Kedudukan Daya Saing Dunia Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2026.

“Disokong oleh Aspirasi Pelaburan Negara (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kami sedang memacu pembuatan berteknologi tinggi dan berproduktiviti tinggi.

“Apabila anda melabur di Malaysia, anda memilih kecekapan kos, perlindungan harta intelek yang kukuh, infrastruktur yang mantap dan ketersambungan perdagangan yang lancar,” katanya.

Sim juga menekankan bahawa apabila beroperasi dari Malaysia syarikat akan mendapat akses terus, bebas tarif atau keutamaan ke rantau ASEAN yang memiliki populasi kira-kira 680 juta orang dan pasaran utama di seluruh dunia melalui rangkaian perjanjian perdagangan bebas Malaysia yang luas.

Beliau berkata di bawah NIMP 2030, Malaysia sedang giat meningkatkan rantaian nilai ke arah pembuatan bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan dipacu inovasi.

“Justeru, kami ingin mempelawa anda untuk datang dan bekerjasama dengan kami bagi mencipta nilai bersama. Kami menggalakkan anda untuk mewujudkan operasi pembuatan serantau di Malaysia.

"Anda boleh menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan bersama serta ujian klinikal dengan memanfaatkan bakat bertaraf dunia, keupayaan teknikal dan tenaga kerja teknikal dwibahasa kami. Membina hab perkhidmatan dan penyelenggaraan serantau untuk menyokong infrastruktur moden di seluruh ASEAN," kata Sim.

Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan SAR Macao berjumlah RM367.7 juta (US$85.8 juta), peningkatan sebanyak 73.6 peratus dari 2024.

-- BERNAMA