Bursa Malaysia Dibuka Rendah Berikutan Aktiviti Pengambilan Untung
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Dagangan Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat ketika pelabur mengambil untung selepas kenaikan selama dua hari berturut-turut walaupun pasaran secara meluas kekal disokong sentimen positif serta kenaikan semalaman Wall Street.
Pada 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.42 mata kepada 1,712.71 daripada 1,715.13 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.39 mata kepada 1,713.74.
Bagaimanapun, sentimen meluas pasaran adalah positif yang membuktikan aktiviti pembelian kekal aktif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 220 berbanding 123 manakala 294 lain tidak berubah, 2,135 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 294.19 juta saham bernilai RM90.50 juta.
Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup meningkat ketika peniaga berharap Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan mengekalkan kadar faedah utamanya pada masa ini.
“Selain itu, hasil bon Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat susut sedikit kepada 4.772 peratus walaupun harga minyak mentah masih kekal melebihi US$95 setong,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat tempatan, Thong berkata Rakuten Trade menjangkakan pergerakan FBM KLCI dalam julat 1,710 hingga 1,720 hari ini.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank untung dua sen kepada RM10.60, Public Bank rugi dua sen kepada RM4.98, CIMB Group susut tiga sen kepada RM7.96, Tenaga Nasional tidak berubah pada RM13.68 manakala IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM7.98.
Saham paling aktif menyaksikan Zetrix AI naik dua sen kepada 26 sen, Ingenieur Gudang turun setengah sen kepada empat sen, Salutica meraih 1.5 sen kepada 13 sen, TWL berkurangan setengah sen kepada dua sen manakala Asteel menokok setengah sen kepada 12.5 sen.
Kaunter paling untung didahului Fraser & Neave yang menambah 44 sen kepada RM24.82, Malaysian Pacific Industries naik 38 sen kepada RM39.98, United Plantations naik 14 sen kepada RM33.16, Vitrox meraih 10 sen kepada RM9.10 manakala MI Technovation meningkat lapan sen kepada RM5.90.
Sebaliknya, kaunter paling rugi menyaksikan Ta Ann susut lapan sen kepada RM6.21, Sarawak Oil Palms dan Telekom Malaysia masing-masing turun enam sen kepada RM5.90 dan RM7.72 manakala CEKD dan SD Guthrie masing-masing susut lima sen kepada 25 sen dan RM6.35.
Di papan indeks pula, Indeks FBM 70 menokok 12.89 mata kepada 17,918.17, Indeks FBM ACE meraih 22.64 mata kepada 5,210.30, Indeks FBM Emas susut 7.52 mata kepada 12,675.82, Indeks FBMT 100 merosot 10.95 mata kepada 12,480.49 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 14.11 mata kepada 12,428.46.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 13.56 mata kepada 20,193.27, Indeks Perladangan berkurangan 35.34 mata kepada 9,458.68 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.14 mata kepada 187.02 dan Indeks Tenaga susut 2.55 mata kepada 807.48.
Sementara itu, Bursa Malaysia menerusi pengumuman pasaran memaklumkan dagangan saham Gamuda dan Farm Fresh akan digantung pada 9 pagi hingga 10 pagi hari ini.
-- BERNAMA