Usaha Sama Unit MNHB Dengan Pembinaan Tajri Peroleh Kontrak Pemasangan Kabel TNB
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Unit milik penuh MN Holdings Bhd (MNHB), MN Utilities Engineering Sdn Bhd (MNUE) dan Pembinaan Tajri Sdn Bhd (PTSB) memperoleh kontrak pemasangan kabel 275 kilovolt (kV) baharu daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Kontrak bernilai RM67.31 juta itu diperoleh melalui pengaturan usaha sama tidak diperbadankan antara MNUE dan PTSB.
Menerusi satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MNHB memaklumkan MNUE dan PTSB menerima pemberian kontrak untuk pemasangan kabel bawah tanah konfigurasi semula 275 kV baharu dari LILO Point ke stesen pensuisan Intel Electronic Malaysia untuk bekalan pukal 275kV kepada Intel Penang daripada TNB.
"Kedua-dua MNUE dan PTSB bersetuju untuk bekerjasama melalui usaha sama yang tidak diperbadankan bagi kontrak tersebut," maklum syarikat itu.
Mengikut kontrak itu perkadaran kerja adalah 80 peratus bagi MNUE dan 20 peratus bagi PTSB atau perkadaran peratusan yang akan dipersetujui bersama oleh kedua-dua syarikat.
Kontrak itu akan berkuat kuasa mulai 4 September 2026, dengan tempoh penyiapan selama 540 hari daripada tarikh permulaan kerja.
Pihak-pihak dikehendaki memberikan jaminan prestasi bernilai RM3.36 juta iaitu lima peratus daripada jumlah kontrak yang diterima dalam tempoh 56 hari mulai 4 September.
-- BERNAMA