Pantai Timur Berpotensi Jadi Hab Keterjaminan Makanan, Peneraju Ekonomi Hijau - CEO MIDA
KUANTAN, 8 Sept (Bernama) -- Wilayah Pantai Timur berpotensi besar menjadi hab utama bagi pemerkasaan keterjaminan makanan negara serta peneraju ekonomi hijau menerusi pemanfaatan tenaga boleh baharu (TBB).
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pertanian pintar, pemprosesan makanan, rantaian sejuk dan logistik mampu meningkatkan produktiviti serta mengukuhkan keupayaan rantaian bekalan makanan negara.
“Kesalinghubungan melalui projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) juga akan memperluas akses pasaran hasil agromakanan, sekali gus memudahkan pergerakan bahan mentah dan produk ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Pelaburan Wilayah Pantai Timur 2026, bertemakan ‘Memacu Pembangunan Pelaburan dan Bumiputera di Wilayah Pantai Timur” di sini hari ini.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata Pahang, Terengganu dan Kelantan juga mempunyai potensi besar dalam TBB termasuk tenaga solar, biomas dan hidro serta pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid.
“Hala tuju ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Pelaburan Hijau. Ini membuka ruang kepada pelaburan mampan yang berteknologi tinggi serta mesra alam,” katanya.
Beliau berkata Wilayah Pantai Timur juga merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM61.4 bilion daripada 2021 hingga Jun 2026 yang melibatkan 1,746 projek, dan dijangka menjana lebih 30,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, Sikh Shamsul Ibrahim berkata MIDA turut menggesa syarikat bumiputera dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan di wilayah itu untuk meneroka pasaran modal sebagai alternatif pembiayaan berimpak tinggi ke arah penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO).
“Langkah itu penting bagi membolehkan syarikat tempatan melangkah ke tahap berikutnya dan menjadi model ikutan industri berikutan persaingan rantaian bekalan global yang semakin mencabar,” katanya.
“Seiring dengan aspirasi untuk meningkatkan kualiti pelaburan, pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) memberi penekanan kepada pelaburan yang berimpak tinggi, berteknologi tinggi dan mampan, selaras dengan keperluan ekonomi masa hadapan,” katanya.
MIDA melalui Pejabat Penyeragaman dan Penyelarasan Insentif (ICCO) dan Portal i-Incentives berperanan menghubungkan syarikat tempatan, khususnya PKS dan syarikat bumiputera kepada sokongan serta insentif yang bersesuaian, di samping memperkemas penyelarasan insentif kerajaan, meningkatkan ketelusan dan memudahkan urusan perniagaan.
Menurutnya syarikat tempatan disarankan untuk memanfaatkan sepenuhnya 84 skim insentif aktif daripada 10 kementerian menerusi Portal i-Incentives bagi memperkasakan keupayaan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata MIDA bersama pelbagai agensi persekutuan dan negeri sentiasa bersedia membantu mempercepat proses kelulusan serta menyelesaikan isu pelaksanaan projek menerusi Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC).
Sementara itu, Pegawai Pelaburan Perniagaan Pahang Datuk Kamarul 'Arifin Ahmad @ Abd Rahman yang mewakili kerajaan negeri itu menyatakan penghargaan kepada MIDA atas penganjuran seminar berkenaan di Kuantan.
Beliau berkata penganjuran seminar itu membuka pintu kepada lebih banyak peluang pelaburan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Wilayah Pantai Timur.
“Saya berharap seminar ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak untuk bertukar pandangan, mencetus idea baharu serta membina jaringan perniagaan yang lebih bermakna,” katanya.
Pada majlis yang disertai lebih 400 peserta itu, turut diadakan ialah sesi apresiasi dan pameran pra-penyenaraian untuk mengiktiraf dua syarikat tempatan iaitu syarikat akuakultur FDI Group dari Pahang dan syarikat kejuruteraan sektor minyak dan gas Upstream Downstream Process & Services Sdn Bhd dari Terengganu.
-- BERNAMA