Pembaharuan Pembiayaan Mesti Seiring Peningkatan Keperluan Penjagaan Kesihatan -- Mohd Shahar
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pembaharuan pembiayaan mesti seiring dengan peningkatan keperluan penjagaan kesihatan serta menyediakan akses penjagaan kesihatan yang mampu dibiayai sepanjang hayat, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Menurut beliau pembaharuan itu juga perlu memastikan sumber awam diguna secara strategik serta golongan rentan dilindungi.
Beliau berkata peningkatan kos penjagaan kesihatan dan premium insurans tidak boleh ditangani sekadar dengan mengalihkan beban kos daripada satu pihak pembayar kepada pihak pembayar yang lain.
“Kita memerlukan sistem pembiayaan yang memperkukuh perlindungan kewangan, menggunakan sumber dengan lebih berkesan serta mengagihkan tanggungjawab secara adil antara kerajaan, majikan, syarikat insurans, penyedia perkhidmatan dan isi rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Penjagaan Kesihatan Malaysia 2026 bertemakan “Menyelaraskan Pertumbuhan Sektor Swasta dengan Keutamaan Kesihatan Negara” di sini hari ini.
Mohd Shahar menggariskan tiga lagi keutamaan termasuk keperluan untuk mengendalikan data dan kebolehoperasian sebagai infrastruktur awam.
“Sama seperti jalan raya dan pelabuhan menghubungkan ekonomi fizikal, platform data kesihatan yang dipercayai menghubungkan sistem kesihatan digital.
“Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menggariskan keperluan untuk perkongsian maklumat kesihatan yang lebih bersepadu, selamat dan boleh dipercayai di antara penyedia penjagaan kesihatan awam dengan swasta,” katanya.
Beliau menambah bahawa asas-asas ini yang disokong oleh piawaian yang kukuh, privasi, keselamatan siber dan tadbir urus data akan menentukan sama ada kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan dengan selamat, bertanggungjawab dan pada skala yang lebih meluas.
Seterusnya, penyusunan penjagaan kesihatan perlu berkembang sejajar dengan keperluan demografi.
Mohd Shahar memaklumkan populasi yang semakin menua memerlukan integrasi yang lebih kukuh antara penjagaan kesihatan pencegahan, penjagaan primer, hospital, pemulihan, perkhidmatan komuniti dan penjagaan jangka panjang.
Mengenai keutamaan yang lain, beliau berkata umur panjang yang sihat perlu disokong melalui pendekatan aktif terhadap penyertaan dalam tenaga kerja dan masyarakat.
Beliau memberitahu penuaan merupakan hakikat demografi, namun kebergantungan ekonomi dipengaruhi oleh pilihan berkaitan kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan perlindungan sosial sepanjang hayat.
Mohd Shahar menambah bahawa asas-asas ini yang disokong oleh piawaian yang kukuh, privasi, keselamatan siber dan tadbir urus data akan menentukan sama ada AI boleh dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab dan pada skala besar.
“Pendekatan seluruh negara diperlukan jika kita mahu mencapai matlamat ini kerana pembiayaan, dasar tenaga kerja, infrastruktur digital dan strategi perindustrian merupakan instrumen ekonomi.
“Di bawah rangka Ekonomi MADANI dan RMK13, kita mesti memanfaatkan kedua-duanya secara bersama-sama untuk meningkatkan had siling melalui pertumbuhan bernilai lebih tinggi serta meningkatkan had lantai melalui akses yang lebih baik, daya tahan dan perlindungan sosial,” jelasnya.
Beliau berkata peranan kerajaan adalah untuk menetapkan hala tuju yang jelas, mengekalkan piawaian, melindungi kepercayaan serta mewujudkan keadaan yang selesa bagi pelaburan dan kerjasama yang bertanggungjawab.
Mohd Shahar menjelaskan perbelanjaan kesihatan Malaysia meningkat secara berterusan dengan memetik data rasmi Akaun Kesihatan Nasional Malaysia yang menunjukkan bahawa perbelanjaan kesihatan per kapita meningkat daripada RM1,237 pada 2011 kepada RM2,521 pada 2023.
Menurut beliau jumlah perbelanjaan kesihatan mencecah RM84.2 bilion pada 2023 bersamaan 4.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Sementara itu, industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia menerima kira-kira 1.8 juta pesakit antarabangsa pada 2025, menjana pendapatan sebanyak RM3.35 bilion dengan pendapatan disasarkan mencecah RM3.83 bilion pada 2026.
-- BERNAMA