Untung Bersih Bermaz Auto Suku Pertama Melonjak Kepada RM40.51 Juta
KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Keuntungan bersih Bermaz Auto Bhd melonjak kepada RM40.51 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Julai, 2026 daripada RM8.27 juta pada suku yang sama tahun lepas, disokong oleh jumlah jualan domestik yang lebih tinggi bagi model Mazda.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan automotif itu menyumbang peningkatan keuntungan berkenaan kepada prestasi kewangan yang lebih baik berbanding syarikat-syarikat bersekutunya.
Perolehan bagi suku itu turut meningkat kepada RM553.08 juta daripada RM491.28 juta pada tahun lepas dipacu oleh jumlah jualan yang lebih tinggi terutamanya bagi model Mazda3.
"Peningkatan itu bagaimanapun sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih rendah daripada operasi domestik Kia susulan penamatan pengedaran pada November 2025 berbanding suku tahun yang sama bagi tahun kewangan sebelumnya," jelasnya.
Mengenai prospek, syarikat itu mengunjurkan tekanan inflasi, konflik geopolitik yang berterusan dan pertumbuhan global yang lebih perlahan akan terus memberi kesan kepada ekonomi Malaysia.
Kemasukan kenderaan jenama China dengan harga agresif turut mengakibatkan lebihan inventori dan keadaan penetapan harga yang tidak teratur yang dicirikan oleh pemberian diskaun secara berterusan.
"Kumpulan itu berjaya mengurangkan kesan berkenaan menerusi pelancaran model-model yang diimport sepenuhnya (CBU) seperti Mazda3 serta Xpeng G6 dan X9 yang mendapat sambutan baik daripada pengguna,” menurutnya.
Pelancaran model automotif yang akan datang ialah kenderaan elektrik hibrid ringan (MHEV) CBU Mazda CX5 2.5G dan CBU Mazda CX-80 3.3G.
Kumpulan itu bagaimanapun menjangkakan kedua-duanya bakal diterima baik oleh pasaran.
Meskipun berdepan dengan persekitaran yang berubah-ubah, syarikat kekal positif untuk mengekalkan kedudukan berdaya saing dan keuntungannya bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 30 April, 2027.
-- BERNAMA