Bursa Malaysia Dibuka Rendah
Oleh Harizah Hanim Mohamed dan Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin, meneruskan prestasi kurang menggalakkan pada minggu lepas sejajar dengan trend serantau yang lemah, kata penganalisis.
Pada 9.15 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menurun 1.11 mata atau 0.06 peratus kepada 1,685.63 daripada 1,686.74 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka rendah 0.09 mata kepada 1,686.65.
Pasaran secara menyeluruh lemah, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 322 berbanding 200 manakala 338 kaunter tidak berubah, 1,980 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 328.99 juta saham bernilai RM160.49 juta.
MBSB Investment Bank Bhd memaklumkan pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu keempat berturut-turut dalam lapan pasaran Asia, dengan aliran keluar asing bersih berjumlah US$4.52 bilion.
“Thailand merupakan satu-satunya pasaran yang mencatatkan aliran masuk asing bersih.
“Aliran keluar bersih diterajui oleh Korea Selatan, diikuti Taiwan, India, Indonesia, Vietnam, Malaysia dan Filipina,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan CIMB, masing-masing menurun satu sen kepada RM4.79 dan RM7.78, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.42, IHH Healthcare menambah 10 sen kepada RM7.75 dan Tenaga Nasional mendatar pada RM13.60.
Bagi saham aktif, Zetrix AI dan Luster Industries, masing-masing kekal tidak berubah pada 25 sen dan 35 sen, United Asiapac Energy menurun satu sen kepada 34 sen, AHB menambah setengah sen kepada enam sen dan Top Glove naik 1.5 sen kepada 81.5 sen.
Nestle mendahului kaunter paling untung dengan meningkat 94 sen kepada RM92.94. Hong Leong Bank naik 18 sen kepada RM23.26, Naim menambah 14 sen kepada 83.5 sen, Citaglobal menokok 12 sen kepada RM1.18 dan Petronas Chemicals naik 11 sen kepada RM5.20.
Kaunter paling rugi ialah Malaysian Pacific Industries menurun 46 sen kepada RM40.24, UMS Integration berkurangan 26 sen kepada RM8.04, Chin Teck Plantations merosot 14 sen kepada RM10.26 serta United Plantations dan Sunway Construction, masing-masing menyusut 10 sen kepada RM33 dan RM7.30.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 menurun 24.35 mata kepada 17,704.29 dan Indeks FBM ACE berkurangan 29.55 mata kepada 5,230.68.
Indeks FBM Emas merosot 8.64 mata kepada 12,501.56, Indeks FBM Top 100 menurun 10.30 mata kepada 12,295.34 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 3.77 mata kepada 12,393.04.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.21 mata kepada 188.99 dan Indeks Tenaga naik 3.18 mata kepada 817.61.
Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 4.89 mata kepada 19,617.32 dan Indeks Perladangan merosot 33.43 mata kepada 9,402.58.
-- BERNAMA