United Asiapac Energy Sasar Perluas Perkhidmatan Intervensi Telaga Minyak, Gas
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) yang berpangkalan di Sarawak, United Asiapac Energy Bhd berhasrat memperluas lagi perniagaan perkhidmatan intervensi telaga minyak dan gas di Malaysia Timur susulan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.
Saham syarikat itu dibuka pada 35 sen, tidak berubah seperti harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan sebanyak 2.78 juta saham bertukar tangan pada sesi dagangan awal.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Korporatnya, Ng Her Yinn berkata IPO berkenaan memberi peluang kepada syarikat untuk memperluas jangkauan pasaran sedia ada selain memperkukuh kehadirannya di seluruh negara.
“Pelan kami adalah untuk terus memperkukuh kehadiran di Malaysia Timur, namun operasi dan perkhidmatan kami tidak terhad di rantau itu.
“Kami juga mempunyai operasi di seluruh Malaysia dan penyenaraian ini (IPO) akan membolehkan kami mengembangkan perniagaan dengan lebih jauh, selain memainkan peranan dalam menyokong pembangunan Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas upacara penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan United Asiapac Energy Ahmad Fadzuli Ali, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi.
Ng berkata syarikat itu mempunyai kelebihan daya saing dalam menyediakan perkhidmatannya meskipun berdepan situasi geopolitik semasa.
“Kami merupakan syarikat Malaysia pertama yang menyediakan perkhidmatan ini sejak enam tahun lepas, dan pengalaman itu memberi kami peluang untuk terus memperkukuh serta mengembangkan perkhidmatan yang kini kami sediakan kepada kontraktor perkongsian petroleum (PAC) lain,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fadzuli berkata syarikat itu yakin terhadap prospek pertumbuhan industri O&G di Malaysia.
“Dari sudut industri, O&G merupakan salah satu tonggak ekonomi Malaysia dan kami akan berkembang seiring dengan pembangunan industri O&G negara.
“Perkhidmatan yang kami sediakan diperlukan pada setiap peringkat kitaran hayat industri O&G di Malaysia. Oleh itu, kami melihat prospek yang baik bagi industri ini,” katanya.
-- BERNAMA