Tan Chong Motor Assemblies, Perodua Sales Meterai Perjanjian Induk Projek BEV
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd (TCMA) memeterai perjanjian induk dengan Perodua Sales Sdn Bhd (PSSB) bagi projek kenderaan elektrik bateri (BEV) Perodua di Serendah.
Tan Chong Motor Holdings Bhd dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini memaklumkan perjanjian tersebut menggariskan terma dan syarat umum berkaitan penyediaan perkhidmatan salutan pemendapan elektro (ED) dan pengecatan, serta penyewaan barisan pemasangan dan perkhidmatan berkaitan oleh anak syarikatnya, TCMA, kepada PSSB bagi projek tersebut.
Perjanjian tersebut adalah untuk tempoh tiga tahun bermula 1 Jun 2026, dengan pilihan melanjutkan tempoh itu bagi tempoh dua tahun lagi. PSSB akan melaksanakan pilihan ini sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tempoh tersebut tamat.
“TCMA akan menyediakan perkhidmatan salutan ED dan pengecatan serta penyewaan barisan pemasangan yang ditetapkan, sebagai balasan kepada bayaran fi perkhidmatan dan sewaan oleh PSSB.
“PSSB akan bertanggungjawab untuk mendapatkan semua kelulusan, permit dan lesen yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan, mematuhi undang-undang dan peraturan berhubung pembuatan BEV, serta memastikan peralatan projeknya mendapat perlindungan insurans yang mencukupi,” maklum syarikat itu.
-- BERNAMA