Pertumbuhan Pusat Data Mesti Beri Manfaat Nyata Kepada Ekonomi Malaysia - Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Malaysia perlu memastikan pertumbuhan pesat industri pusat data memberi limpahan ekonomi yang nyata dan boleh diukur kepada ekonomi lebih luas, termasuk memperkukuh perniagaan tempatan, meningkatkan keupayaan tempatan serta mewujudkan peluang sebenar kepada rakyat.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata menarik pelaburan hanyalah langkah pertama, manakala tanggungjawab seterusnya adalah membangunkan industri mampan yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Di sebalik angka utama, MIDA sentiasa mengemukakan satu persoalan: bagaimana kita dapat memastikan pelaburan ini diterjemahkan kepada nilai yang nyata dan berkekalan kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhannya?
“Pusat data merupakan pemacu penting ekonomi digital negara. Namun, nilai sebenar pusat data terletak di luar kemudahan pusat data itu sendiri. Kita perlu membuktikan bahawa kesan limpahannya benar-benar berlaku dan boleh diukur,” katanya dalam ucapan pada majlis makan tengah hari sempena Data Centre Nexus (DCN) 2026 di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata kehadiran syarikat teknologi global (hyperscalers) mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN dan seharusnya diterjemahkan kepada ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang pembinaan, kejuruteraan serta operasi teknologi.
Pada masa sama, katanya, perkembangan industri itu perlu membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam bidang pengurusan fasiliti, integrasi sistem dan rantaian bekalan pengkomputeran awan.
“Untuk merealisasikan perkara ini memerlukan pelaburan sebenar dalam keselamatan tenaga, ketersambungan, infrastruktur perindustrian serta penggunaan sumber seperti air secara kitaran,” katanya.
Mengambil contoh di peringkat global, Tengku Zafrul berkata Google menukar sebuah kilang kertas yang tidak lagi beroperasi di Hamina, Finland, menjadi pusat data yang menggunakan air laut dari Laut Baltik bagi tujuan penyejukan, manakala haba sisanya dimanfaatkan untuk memanaskan rumah berhampiran.
Beliau berkata pusat data Meta di Odense, Denmark, pula menyalurkan lebihan haba ke rangkaian pemanasan daerah bandar berkenaan, yang digunakan untuk memanaskan ribuan rumah.
“Ini bukan projek amal. Ia membuktikan bahawa amalan ekonomi kitaran dan pembangunan kapasiti boleh berkembang secara serentak. Malaysia juga perlu menyasarkan tahap yang tinggi dan bergerak pantas serta sistematik, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional.
Pusat data menyediakan tulang belakang digital yang menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor lain, termasuk pembuatan berteknologi maju,” katanya.
Tengku Zafrul berkata infrastruktur digital berkenaan turut membolehkan latihan kecerdasan buatan (AI), perkhidmatan awan dan reka bentuk cip, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam ekonomi pengkomputeran global.
“Pengalaman anda di lapangan juga amat penting kepada kami. Maklumkan kepada kami mengenai kekangan yang dihadapi supaya dasar kita kekal praktikal dan responsif terhadap keperluan industri, pertumbuhan perniagaan serta kepentingan rakyat yang kita berikan perkhidmatan.
“Itulah sebabnya kami menganjurkan DCN. Cabaran yang kompleks sebaik-baiknya ditangani secara bersama kerajaan dan industri berganding bahu, supaya pertumbuhan pesat sektor ini dapat memberikan manfaat secara meluas kepada rakyat Malaysia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bukan hanya kepada segelintir pihak,” katanya.
Tengku Zafrul berkata perbincangan, pameran dan sesi pemadanan perniagaan pada DCN 2026 dirangka untuk menterjemahkan perbincangan kepada peluang komersial serta mengubah urus niaga jangka pendek kepada perkongsian jangka panjang.
Beliau turut menekankan keperluan memperkukuh saluran bakat tempatan, dengan mengetengahkan program re/Start Amazon Web Services (AWS) yang melatih bakat untuk kerjaya dalam bidang pusat data dan pengkomputeran awan di negara seperti Ireland dan Singapura sebagai model yang wajar dikaji.
“Malaysia mempunyai bakat. Kita kini memerlukan saluran pembangunan bakat yang sepadan dengannya.
“Pada akhirnya, kejayaan tidak akan diukur berdasarkan saiz pelaburan yang kita berjaya tarik, tetapi berdasarkan nilai yang kita bina di sekelilingnya: perniagaan Malaysia yang lebih kukuh, keupayaan tempatan yang lebih mendalam dan peluang sebenar untuk rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilik modal serta pihak yang memudah cara pembiayaan, termasuk bank, perlu memainkan peranan masing-masing.
-- BERNAMA