Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Seiring Kenaikan Harga Tenaga
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa, seiring dengan kenaikan harga tenaga, kata seorang penganalisis.
Hari ini minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) meningkat 0.17 peratus kepada US$101.60 setong.
Ketua penyelidikan komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani, berkata sentimen pasaran turut disokong oleh jangkaan bekalan terhad minyak sawit tahun depan.
"Sokongan tambahan itu didorong oleh jangkaan bekalan terhad minyak sawit tahun depan susulan mandat biodiesel B50 Indonesia serta potensi pengurangan pengeluaran akibat fenomena El Nino," katanya kepada Bernama.
Anilkumar berkata niaga hadapan CPO turut mendapat sokongan daripada ura-ura pasaran bahawa India mungkin mengurangkan duti import ke atas minyak makan.
Bagaimanapun, beliau berkata potensi kenaikan harga dihadkan oleh eksport minyak sawit Malaysia yang lebih lemah, peningkatan pengeluaran serta jangkaan paras stok akhir yang tinggi.
"Eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 15 September dianggarkan oleh Intertek Testing Services pada sekitar 560,000 tan, susut hampir 18 peratus berbanding tempoh 1 hingga 15 Ogos," katanya.
Anilkumar berkata Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menganggarkan pengeluaran minyak sawit di kilang di semenanjung selatan meningkat sebanyak 26.62 peratus bagi tempoh 1 hingga 10 September berbanding tempoh 1 hingga 10 Ogos.
Pada sesi penutup dagangan, kontrak September 2026 kekal tidak berubah pada RM4,597 setan, manakala kontrak Oktober 2026 mengukuh sebanyak RM24 kepada RM4,741 setan dan kontrak November 2026 meningkat RM34 kepada RM4,884 setan.
Sementara itu, kontrak Disember 2026 meningkat RM40 kepada RM4,998 setan, kontrak Januari 2027 naik RM34 kepada RM5,086 setan, dan kontrak Februari 2027 menambah RM20 kepada RM5,152 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 153,885 lot daripada 147,722 pada Isnin, manakala kepentingan terbuka naik sedikit kepada 351,861 kontrak daripada 351,160 sebelumnya.
Harga fizikal CPO bagi penghantaran Selatan September meningkat RM20 kepada RM,4650 setan.
Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Rabu, 16 September, sempena cuti umum Hari Malaysia, dan urus niaga akan disambung semula pada Khamis.
-- BERNAMA