Hubungan Dua Hala, Kerjasama China-Malaysia Semakin Kukuh
GEORGE TOWN, 15 Sept (Bernama) -- Prospek kerjasama dan pembangunan antara China-Malaysia semakin meningkat berbanding sebelum ini, susulan pengukuhan hubungan dua hala kedua-dua negara, kata Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin.
Zhou berkata demikian pada majlis makan malam bersempena ulang tahun ke-77 penubuhan Republik Rakyat China, sekali gus menandakan ulang tahun ke-52 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, dan hubungan dua hala kini berada pada tahap terbaik dalam sejarah.
“China dan Malaysia merupakan jiran tetangga yang dipisahkan oleh lautan, tetapi masih mengekalkan hubungan persahabatan yang terjalin sejak ribuan tahun lalu.
“Hari ini, kita berganding bahu membina komuniti China-Malaysia sambil berkongsi masa depan berteraskan perkongsian strategik,” katanya.
Zhou menjelaskan bahawa pertukaran ekonomi, perdagangan dan budaya antara kedua-dua negara terus memberikan hasil yang memberangsangkan, dengan nilai perdagangan dua hala melebihi US$104 bilion (RM424 bilion) pada separuh pertama tahun ini, manakala jumlah pelancong warga China ke Malaysia melepasi 2.65 juta.
Beliau berkata pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah siap lebih 95 peratus, terus memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.
Mengenai kerjasama di peringkat sub-nasional, Zhou memaklumkan bahawa negeri-negeri di utara Malaysia sedang giat mengadakan pertukaran dan lawatan timbal balas dengan beberapa wilayah dan bandar di China, termasuk Shanghai, Jiangsu, Guangdong, Fujian dan Shandong, sekali gus membuka potensi besar bagi kerjasama selanjutnya.
“Perusahaan yang dibiayai oleh China telah melabur di utara Malaysia dalam sektor seperti kenderaan tenaga baharu, bateri litium dan peranti perubatan, bercirikan tahap automasi yang tinggi, teknologi termaju dan mesra alam sekitar, sekali gus menjadi rakan kongsi penting dalam transformasi serta meningkatkan taraf industri tempatan," katanya.
Pada masa sama, Zhou berkata kesalinghubungan turut bertambah baik susulan pelancaran penerbangan terus dari Qingdao dan Chongqing ke Pulau Pinang, sekali gus memudahkan hubungan antara rakyat China dan wilayah utara Malaysia.
Selain itu, katanya, pelbagai inisiatif akademik dan kebudayaan turut dilaksanakan bagi menggalakkan dialog, persefahaman bersama serta hubungan yang lebih erat antara rakyat di kedua-dua negara.
-- BERNAMA