Pertumbuhan Eksport Malaysia Dijangka Melebihi Unjuran 22 Peratus - MBSB IB
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Pertumbuhan eksport Malaysia bagi tahun penuh berpotensi melepasi unjuran semasa sebanyak 22 peratus pada 2026 sekiranya momentum kukuh itu berterusan dalam masa beberapa bulan akan datang, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
MBSB IB menerusi nota penyelidikan memaklumkan pertumbuhan import juga berpotensi melepasi unjuran 16 peratus daripada 6.0 peratus pada 2025 dan menjangkakan pertumbuhan eksport 22 peratus berbanding 6.6 peratus pada 2025.
“Permintaan yang kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk teknologi akan terus memacu permintaan luaran, namun prospek itu masih terdedah kepada beberapa risiko seperti gangguan bekalan, kos input tinggi, permintaan akhir yang lebih lemah dan ketegangan perdagangan yang kembali memuncak,” menurutnya.
Menurut MBSB IB pertumbuhan jumlah perdagangan Malaysia meningkat kepada 43.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2026 daripada 37.2 peratus pada Julai sekali gus meneruskan pertumbuhan dua digit untuk bulan ke-12 berturut-turut.
Menurutnya pertumbuhan eksport mengukuh kepada 45.5 peratus (Julai: 38.0 peratus), mengatasi jangkaan pasaran dan unjurannya, disokong eksport domestik yang mantap (46.0 peratus tahun ke tahun; Julai: 36.9 peratus) serta eksport semula (43.3 peratus tahun ke tahun; Julai: 41.1 peratus).
“Import turut mencatatkan pertumbuhan lebih pantas pada kadar 41.1 peratus tahun ke tahun (Julai: 36.3 peratus), didorong peningkatan pembelian barangan perantaraan dan barangan modal. Data terkini menunjukkan bahawa momentum perdagangan luar Malaysia kekal kukuh walaupun nilai perdagangan bulanan agak perlahan,” menurutnya.
Menurut MBSB IB penghantaran keluar terus dipacu oleh produk E&E, yang meningkat 66.5 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 28.1 mata peratusan atau kira-kira 62 peratus kepada pertumbuhan eksport keseluruhan pada Ogos.
“Produk pembuatan lain (10.4 mata peratusan), gas asli cecair (1.6 mata peratusan), produk petroleum (1.5 mata peratusan), mesin, kelengkapan dan alat ganti (1.4 mata peratusan), barangan logam (1.3 mata peratusan) serta peralatan optik dan saintifik (1.1 mata peratusan) turut menyokong pengembangan pada Ogos.
“Bagaimanapun, eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit merosot 15.5 peratus tahun ke tahun (Julai: +13.5 peratus) berikutan permintaan yang lemah daripada pasaran utama iaitu India dan Kenya,” menurutnya.
Bagi asas bulanan, MBSB IB memaklumkan eksport susut 1.3 peratus bulan ke bulan selepas meningkat 8.8 peratus pada Julai manakala import merosot 4.7 peratus bulan ke bulan selepas naik 5.5 peratus pada Julai.
“Berikutan import menyusut lebih pantas berbanding eksport, lebihan dagangan meningkat kepada RM28.1 bilion daripada RM22.5 bilion pada Julai. Bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, jumlah perdagangan berkembang 27.0 peratus tahun ke tahun dengan eksport dan import masing-masing meningkat 31.2 peratus dan 22.4 peratus.
“Lebihan dagangan terkumpul meningkat kepada RM198.7 bilion, naik 127.6 peratus tahun ke tahun daripada RM87.3 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2025, sekali gus menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi,” menurut MBSB.
-- BERNAMA