BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Capital A Rancang Lupus BigPay, Agih Pegangan Tune Protect Di Bawah Pengoptimuman Struktur Modal

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Capital A Bhd telah mencadangkan satu langkah pengoptimuman struktur modal yang melibatkan potensi pelupusan BigPay Pte Ltd, syarikat di mana 99.56 peratus sahamnya dimiliki oleh Capital A, berdasarkan keadaan pasaran, serta pengagihan secara teratur dan terancang bagi pegangan ekuiti 13.6 peratus dalam Tune Protect Group Bhd.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Capital A menyatakan bahawa langkah tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Move Digital Sdn Bhd (MDSB), di bawah rangka kerja yang diselia oleh mahkamah.

Syarikat itu memaklumkan bahawa MDSB telah memfailkan permohonan berkaitan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Bahagian Komersial) menurut Seksyen 366, 368 dan 369 Akta Syarikat 2016.

Ad Banner

Menurut Capital A, langkah tersebut akan tertumpu kepada tiga tonggak utama, potensi pelupusan kepentingan ekuiti MDSB dalam BigPay berdasarkan keadaan pasaran, pengagihan secara teratur pegangan saham Tune Protect, serta pemulihan secara sistematik jumlah belum terima dianggarkan bernilai RM32.2 juta.

"Hasil daripada aset-aset ini akan diagihkan kepada pemiutang, kebanyakannya terdiri daripada Capital A atau syarikat-syarikat berkaitan dengan Capital A," menurut kenyataan itu.

Syarikat itu memaklumkan bahawa MDSB merupakan syarikat pegangan perantaraan bagi pelaburan sedia ada (legacy investments) dan tidak menjalankan sebarang perniagaan sendiri.

Ad Banner

Capital A mengesahkan bahawa MDSB adalah entiti yang berasingan dan berbeza daripada AirAsia Move Sdn Bhd, platform perjalanan digital kumpulan itu yang dimiliki secara langsung oleh Capital A, di mana AirAsia Move Sdn Bhd sama sekali tidak terjejas oleh langkah berkenaan dan terus beroperasi dengan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Didorong sepenuhnya oleh peruntukan modal yang berdisiplin dan bukannya kekangan kecairan, kumpulan ini mengambil langkah tegas untuk menghentikan pembiayaan bagi unit yang mencatat kerugian seperti BigPay, serta mengalihkan modal kepada operasi teras, ia menjana pulangan lebih tinggi demi memaksimumkan nilai pemegang saham dalam jangka panjang.

“Pelaksanaan langkah penyusunan semula ini juga membolehkan penyahgabungan positif kerugian operasi terdahulu BigPay yang mencatatkan angka ketara bagi pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kerugian bersih pada tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025,” menurut kenyataan itu.

Menurut syarikat itu, menghapuskan beban kerugian legasi ini serta-merta mengukuhkan lembaran imbangan Capital A, meningkatkan kualiti pendapatan dan mempertingkatkan fleksibiliti kewangan secara keseluruhan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes berkata langkah tersebut mencerminkan tumpuan kumpulan terhadap akauntabiliti, tadbir urus dan usaha mengawal masa depannya sendiri.

“Kami sedang membersihkan aset-aset legasi kami dan menumpukan 100 peratus tenaga serta modal kami kepada perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.

“Langkah ini mengukuhkan kedudukan kewangan kami dan membolehkan kami memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap bidang yang menjadi kekuatan utama kami,” katanya.

-- BERNAMA