Jati Tinggi Raih Kontrak Infrastruktur Kuasa Pusat Data RM72.84 Juta
KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Jati Tinggi Group Bhd (JTGroup), Jati Tinggi Holding Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM72.84 juta bagi melaksanakan kerja infrastruktur kuasa kritikal untuk pembangunan pusat data di Selangor.
JTGroup dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak itu melibatkan reka bentuk, pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sambungan kabel 275 kilovolt (kV) PMU Megasteel ke Consumer Landing Station bagi sebuah pusat data di Taman Teknologi Banting, Banting, Selangor.
Kontrak itu dijangka siap pada 15 Jan 2027 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak, katanya.
Dalam kenyataan, Pengarah Urusan JTGroup Datuk Lim Yeong Seong berkata perolehan kontrak itu mencerminkan peluang yang semakin berkembang bagi syarikat berkenaan di luar projek berkaitan utiliti tradisionalnya.
“Dengan pembangunan berintensiti tenaga seperti pusat data yang terus berkembang, kami melihat permintaan sektor swasta yang semakin meningkat terhadap infrastruktur kuasa voltan sederhana dan tinggi.
“Dengan buku pesanan kami kini berjumlah kira-kira RM1.1 bilion, kami yakin dengan kepelbagaian portfolio projek yang semakin meningkat,” katanya.
Jumlah kemenangan kontrak JTGroup bagi tahun kewangan 2026 setakat ini mencecah RM544.6 juta, sekali gus mengatasi RM460.4 juta yang dicatat sepanjang tahun kewangan 2025.
-- BERNAMA