BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Ecoworld Menang Tender Tanah Di Singapura Pada RM667.6 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Eco World Development (S) Pte Ltd, berjaya memperoleh sebidang tanah di Lorong Puntong/Sin Ming Avenue, Singapura pada harga S$208.09 juta (RM667.6 juta).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pemaju hartanah itu memaklumkan unitnya itu telah disahkan sebagai pembida berjaya bagi tanah seluas 4,283.5 meter persegi dengan tempoh pajakan 99 tahun susulan tender yang dijalankan oleh pihak Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) Singapura.

“Tanah itu akan dibangunkan sebagai kondominium atau pangsapuri kediaman dengan keluasan lantai kasar maksimum yang dibenarkan pada 11,994 meter persegi,” menurut EcoWorld.

Ad Banner

Kumpulan itu turut menganggap tender berkenaan sebagai peluang baik untuk menceburi sektor pembangunan kediaman swasta di Singapura.

Tanah yang akan menjadi lokasi projek pembangunan pertama EcoWorld di Singapura, terletak di kawasan Thomson yang sudah berkembang dengan kebanyakannya merupakan pembangunan kediaman swasta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Seri Chang Khim Wah berkata pihaknya berhasrat melancarkan projek berkenaan pada 2028 di bawah siri baharu “Versione.”

Ad Banner

“Konsep pembangunan terkini oleh EcoWorld itu menawarkan apartmen yang menepati gaya hidup khusus selain pengalaman yang direka untuk memenuhi keperluan dan aspirasi setiap kumpulan pelanggan,” katanya.

Proses tender itu dijangka selesai pada suku keempat 2026.

-- BERNAMA