BNM Dijangka Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus Dalam Mesyuarat Pada November

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Apex Securities Bhd menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang pada November ini.

Menurut Apex Securities dalam nota penyelidikan hari ini, prospek inflasi yang terkawal menunjukkan tiada keperluan mendesak bagi BNM untuk melaraskan dasar monetari pada masa ini, menyokong jangkaan bahawa bank pusat akan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus.

“Dalam tempoh akan datang, berdasarkan prospek ekonomi domestik yang positif, inflasi yang stabil dan langkah dasar monetari yang ketat di ekonomi maju utama, kami menjangka BNM menaikkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas pada 2027, melaraskan OPR kepada tiga peratus,” menurutnya.

Ad Banner

Apex Securities memaklumkan pihaknya mengekalkan unjuran inflasi bagi 2026 dan 2027 pada dua peratus tahun ke tahun manakala risiko inflasi dalam masa terdekat kekal cenderung meningkat, sebahagian besarnya berikutan tekanan berkaitan kos.

Menurutnya, walaupun terdapat risiko peningkatan, inflasi kekal di bawah dua peratus walaupun berlaku konflik di Asia Barat, mencerminkan pelarasan dasar subsidi yang berjaya membendung tekanan harga.

Baru-baru ini, kerajaan mengembalikan kuota bulanan BUDI95 kepada 300 liter dan menaikkan kuota diesel BUDI kepada 400 liter, berkuat kuasa September.

Ad Banner

“Selain itu, ambang subsidi elektrik isi rumah telah dinaikkan kepada 800 kilowatt-jam (kWh) sebulan daripada 600 kWh sehingga 31 Dis 2026, membantu mengurangkan kesan kos elektrik yang tinggi kepada isi rumah berikutan keadaan cuaca yang berjerebu.

“Langkah ini dijangka dapat membantu mengekalkan kuasa beli isi rumah dan menyokong perbelanjaan domestik,” menurutnya.

-- BERNAMA