Anak Syarikat Southern Score Peroleh Subkontrak Pusat Data Di Nilai Bernilai RM40 Juta
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik 51 peratus Southern Score Builders Bhd iaitu SJEE Engineering Sdn Bhd (SJEE) memperoleh subkontrak bernilai RM40 juta daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan bagi kerja-kerja elektrik untuk projek pusat data di Nilai, Negeri Sembilan.
Syarikat itu menyatakan subkontrak berkenaan merangkumi pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan serta penyelenggaraan selain jaminan bagi kerja-kerja elektrik projek tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan berkenaan memaklumkan projek itu dijadualkan siap pada 20 April, 2027.
"Projek berkenaan dijangka memberikan sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2027," tambahnya.
-- BERNAMA