AirAsia Malaysia Perbaharui Sijil Perakuan Pengendali Udara, Sah Sehingga September 2029
KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- AirAsia Malaysia telah berjaya memperbaharui Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang sah sehingga 30 September 2029.
Pembaharuan ini dibuat susulan penilaian kawal selia oleh CAAM terhadap pematuhan berterusan AirAsia Malaysia dengan keperluan yang mengawal operasi pengangkutan udara komersial, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat penerbangan itu dalam rangka kerja kawal selia penerbangan Malaysia yang mantap.
Pengurus Besar AirAsia Malaysia Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata pembaharuan AOC itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat penerbangan tersebut untuk bukan sahaja memenuhi, malah melangkaui piawaian kawal selia, operasi dan keselamatan yang ditetapkan bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia.
"Melangkah ke depan, kami kekal fokus untuk beroperasi dengan selamat dan cekap, mengoptimumkan armada dan rangkaian kami, serta terus menyediakan hubungan perjalanan yang berpatutan untuk berjuta-juta pengembara di seluruh Malaysia dan rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ini, AirAsia Malaysia mengendalikan 1,620 penerbangan seminggu ke 15 destinasi domestik dan 73 destinasi antarabangsa merentasi 22 negara, menghubungkan pengembara dari Malaysia ke pasaran utama di seluruh ASEAN, Asia, Australia dan destinasi lain.
Menerusi AOC diperbaharui itu, rangkaian domestik dan antarabangsa yang meluas serta pengiktirafan berterusan daripada pengembara di seluruh dunia, AirAsia Malaysia kekal fokus untuk memperkukuh jaringan hubungan, menyokong ekosistem penerbangan dan pelancongan Malaysia dan menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses oleh jutaan pengembara.
-- BERNAMA