BERITA TERKINI   Anthony Loke kekal dengan pendirian meletak jawatan Menteri Pengangkutan | PRN Melaka: Permohonan undi pos dibuka mulai hari ini, semua permohonan dibuat secara dalam talian - SPR | Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate C.Shahmalarani sumbang emas ketiga negara dalam acara kumite bawah 50kg wanita | Aichi-Nagoya 2026: Atlet e-sukan Taj Izrin Aiman Taj Madira raih emas kedua negara dalam perlumbaan Gran Turismo 7 | 

Malaysia Airlines Lanjut Kontrak FHS Airbus Untuk Pesawat A330ceo

SINGAPURA, 23 Sept (Bernama) -- Malaysia Airlines memeterai perjanjian untuk melanjutkan program Perkhidmatan Jam Penerbangan (FHS) Airbus yang menerajui industri bagi pesawat A330ceo milik syarikat itu sempena acara MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) Asia-Pasifik di sini.

Airbus dalam satu kenyataan hari ini menyatakan perjanjian itu mengukuhkan FHS Airbus sebagai sokongan penyelenggaraan utama bagi pesawat A330ceo Malaysia Airlines sejak 2017 serta A330neo yang bermula pada 2024.

Jelasnya, kontrak jangka panjang berasaskan jam penerbangan itu merangkumi perkhidmatan komponen bersepadu termasuk stok di tapak, akses kepada kumpulan inventori, perkhidmatan pembaikan serta kejuruteraan kebolehpercayaan komponen.

Ad Banner

Malaysia Airlines juga akan mendapat manfaat daripada kepakaran kejuruteraan Airbus serta wakil FHS serantau yang membantu aktiviti penyelenggaraan harian. 

 Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Aida Salfaraz Ahmad Fadzil berkata lanjutan perjanjian ini mencerminkan nilai yang dibawa oleh program FHS Airbus dalam operasi syarikat.

Sejak 2017, katanya, Airbus menyokong prestasi dan kebolehpercayaan pesawat A330 Malaysia Airlines melalui perkhidmatan komponen dan kepakaran teknikal mereka.

Ad Banner

"Seiring tumpuan kami pada kecekapan operasi dan kecemerlangan perkhidmatan, program ini kekal sebagai aspek penting dalam rangka sokongan kami dan kami menantikan kerjasama berterusan dengan Airbus," katanya.

Menurut Airbus, FHS Airbus menawarkan penyelesaian penyelenggaraan yang fleksibel dan menyeluruh, direka untuk membantu syarikat penerbangan memaksimumkan prestasi pesawat sambil mengurangkan kos operasi keseluruhan. 

Dengan kepakaran global Airbus, teknologi canggih serta data dan analitik tepat, perkhidmatan ini memastikan kecekapan dan kebolehpercayaan optimum dalam operasi penerbangan, jelasnya.

-- BERNAMA