BERITA TERKINI   Anthony Loke kekal dengan pendirian meletak jawatan Menteri Pengangkutan | PRN Melaka: Permohonan undi pos dibuka mulai hari ini, semua permohonan dibuat secara dalam talian - SPR | Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate C.Shahmalarani sumbang emas ketiga negara dalam acara kumite bawah 50kg wanita | 

Bursa Malaysia Rendah Susulan Pengambilan Untung, Sentimen Terhadap Saham Petrokimia

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia susut pada akhir dagangan Rabu, diasak aktiviti pengambilan untung dalam kelompok saham wajaran tinggi terpilih serta sentimen kurang memberangsangkan terhadap saham petrokimia berikutan harga minyak yang terus menyusut, kata penganalisis.

Pada 5 petang ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.07 mata atau 0.42 peratus kepada 1,676.43 daripada paras penutup 1,683.50, semalam.

Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka turun 1.31 mata kepada 1,682.19 dan bergerak dalam julat 1,675.15 hingga 1,685.37 sepanjang sesi berkenaan.

Sentimen pasaran hampir seimbang dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 549 berbanding 519 manakala 577 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,226 tidak diniagakan dan 27 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan menguncup kepada 3.20 bilion unit bernilai RM2.99 bilion daripada 3.57 bilion unit bernilai RM3.15 bilion, semalam.

Ad Banner

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata harga minyak mentah susut selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membuat kenyataan bahawa wakil AS dan Iran telah mengadakan rundingan “amat baik” di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.

Kenyataan sedemikian hanya menyuntik harapan baharu ke arah usaha meredakan ketegangan, sekali gus mengurangkan premium risiko geopolitik dalam harga minyak.

Mohd Sedek berkata pelabur juga terus berpendirian berhati-hati menjelang pertemuan antara Trump dan Presiden China Xi Jinping lewat minggu ini dengan kalangan pemerhati menyifatkan sebarang hasil pertemuan itu dapat mempengaruhi sentimen terhadap perdagangan global dan pertumbuhan ekonomi.

“Gabungan faktor pengambilan untung serta harga tenaga lebih rendah, hanya menjadikan indeks diasak tekanan walaupun pasaran secara meluas lebih menumpukan perkembangan geopolitik dan hala tuju pergerakan harga minyak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong memberitahu Bernama, indeks pasaran dijangka kekal dalam julat kecil dalam masa terdekat ketika pelabur terus menunggu kejelasan membabitkan perkembangan di Asia Barat.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung dua sen kepada RM10.14, Public Bank susut satu sen kepada RM4.83, CIMB meraih tiga sen kepada RM7.93, Tenaga Nasional menokok empat sen kepada RM13.14 manakala IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM8.

Kaunter yang diniagakan paling aktif ialah Zetrix AI yang susut dua sen kepada 18.5 sen, Jaks Resources rugi setengah sen kepada 16.5 sen, V.S Industry meraih dua sen kepada 25 sen, Velesto Energy turun satu sen kepada 23 sen dan Capital A susut 1.5 sen kepada 25.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries naik RM1.38 kepada RM44.58, Nestle meningkat 34 sen kepada RM89.50, KESM Industries mengukuh 32 sen kepada RM4.33, Ayer naik 27 sen kepada RM7.47 dan Petronas Gas menokok 22 sen kepada RM17.50.

Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului Dutch Lady yang merosot 50 sen kepada RM30.40, United Plantations dan Hong Leong Industries masing-masing susut 34 sen kepada RM33.20 dan RM16.72, Sarawak Oil Palms turun 24 sen kepada RM5.85 dan Kuala Lumpur Kepong kehilangan 20 sen kepada RM22.50.

Bagi papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 susut 10.60 mata kepada 17,833.80, Indeks FBM Emas turun 36.79 mata kepada 12,477.35, Indeks FBM Top 100 menguncup 40.28 mata kepada 12,267.60, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 6.16 mata kepada 12,320.22 namun Indeks FBM ACE meningkat 58.30 mata kepada 5,247.41.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.05 mata kepada 184.95, Indeks Tenaga menambah 5.80 mata kepada 50.45 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 156.90 mata kepada 19,577.78 dan Indeks Perladangan turun 46.22 mata kepada 9,409.80.

Jumlah dagangan Pasaran Utama mengecil kepada 1.95 bilion unit bernilai RM2.67 bilion berbanding 2.12 bilion unit bernilai RM2.78 bilion yang dicatatkan semalam.

Perolehan waran berkurangan kepada 788.71 juta unit bernilai RM114.81 juta daripada 910.51 juta unit bernilai RM129.49 juta sebelumnya.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 461.73 juta unit bernilai RM199.84 juta daripada 544.47 juta unit bernilai RM238.48 juta, semalam.

Dalam pada itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 271.73 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (328.58 juta), pembinaan (157.57 juta), teknologi (543.73 juta), perkhidmatan kewangan (64.89 juta), hartanah (119.70 juta), perladangan (29.58 juta), pelaburan hartanah (REIT) (17.72 juta), dana tertutup (36,400), tenaga (199.34 juta), penjagaan kesihatan (97.30 juta), telekomunikasi dan media (38.00 juta), pengangkutan dan logistik (31.82 juta), utiliti (51.29 juta), serta amanah perniagaan (9,700).

-- BERNAMA