BERITA TERKINI   Konflik Asia Barat: Malaysia, Qatar senada perang mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan disegerakan dan ikhtiar damai diperkukuh - PM Anwar | Malaysia terus dukung usaha diplomatik bersama Qatar, rakan serantau untuk keamanan berkekalan - PM Anwar | Malaysia dan Qatar senada perang mesti dihentikan - PM Anwar | Harga petrol RON97, RON95 tanpa subsidi turun 5 sen, diesel tanpa subsidi turun 15 sen bagi tempoh 1 hingga 7 Okt - MOF | Seramai 3,524 pelarian Myanmar telah dipersetujui bersama Myanmar untuk dihantar pulang pada fasa kedua - Fahmi | 

Kenaikan Had Maksimum Pembiayaan LPPSA Bakal Pacu Pemilikan Rumah, Pasaran Hartanah

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Peningkatan had maksimum pembiayaan perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada RM1 juta dijangka memperkukuh pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam dan menyokong permintaan dalam pasaran hartanah kediaman, kata pakar hartanah.

Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ukur dan Pengurusan (Pengurusan Hartanah), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Maszuwita Abdul Wahab, berkata langkah itu akan mewujudkan situasi saling menguntungkan bagi pembeli rumah dan pemaju, terutamanya bagi menyokong jualan hartanah kediaman yang telah siap dibina.

Ad Banner

“Ia merupakan satu inisiatif yang baik oleh kerajaan. Ia adalah langkah positif bagi menyokong pemilikan rumah dan meningkatkan kemampuan memiliki rumah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kuasa beli yang lebih tinggi dalam kalangan penjawat awam yang layak boleh membantu pemaju meningkatkan jualan dan mengurangkan bilangan unit kediaman yang siap, namun masih gagal dijual, iaitu satu isu yang terus menjejaskan pasaran perumahan semasa dan selepas pandemik COVID-19.

“Penjawat awam akan mendapat akses kepada pembiayaan yang lebih tinggi. Mereka akan berpeluang membeli kediaman yang sesuai. Ia adalah satu peluang yang sangat baik,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner

Maszuwita berkata penjawat awam yang layak boleh mendapatkan pembiayaan perumahan sehingga 100 peratus menerusi LPPSA, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan, berbanding pinjaman bank konvensional yang biasanya membiayai sehingga 90 peratus daripada nilai hartanah. 

Beliau menambah bahawa manfaat itu juga perlu dilihat daripada perspektif jangka panjang, memandangkan pemilikan rumah boleh menyediakan aset bukan sahaja bagi penjawat awam tetapi juga anak-anak mereka.

“Ramai berpendapat bahawa langkah ini akan membebankan penjawat awam, namun jika dilihat daripada perspektif jangka panjang, ia sebenarnya akan memberi manfaat kepada mereka.

“Ia bukan sehaja untuk mereka, malah boleh menjadi satu bentuk pelaburan untuk anak-anak mereka,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata had maksimum yang lebih tinggi akan memacu permintaan terhadap pasaran hartanah kediaman berikutan kelonggaran kekangan bagi memperoleh pinjaman, khususnya bagi segmen hartanah bernilai tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata kesannya bergantung kepada sama ada pembiayaan tambahan itu diterjemahkan dalam transaksi hartanah yang sebenar, dan bukannya sekadar meningkatkan tahap keberhutangan isi rumah.

Mohd Sedek berkata had pembiayaan yang lebih tinggi boleh meningkatkan beban khidmat hutang dan mendedahkan peminjam yang rapuh dari segi kewangan kepada beban hutang yang tidak mampu ditanggung, jika keadaan ekonomi merosot akibat kadar faedah yang lebih tinggi, pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan atau pembetulan harga hartanah.

“Oleh itu, petunjuk utama yang perlu dipantau ialah pertumbuhan pinjaman LPPSA, jumlah transaksi, lambakan hartanah, nisbah khidmat hutang isi rumah dan pendapatan pemaju," katanya.

Beliau berkata petunjuk tersebut akan menentukan sama ada inisiatif itu memacu aktiviti sektor sebenar yang mampan atau sekadar mengawal permintaan perumahan. 

Di bawah inisiatif Belanjawan 2026, had maksimum kelayakan pembiayaan LPPSA akan dinaikkan kepada RM1 juta, dengan pelaksanaannya dijadualkan bermula suku keempat 2026, tertakluk kepada kesediaan sistem.

Langkah itu bertujuan menyelaraskan kelayakan pembiayaan bagi kakitangan sektor awam dengan pelarasan gaji dan kenaikan harga hartanah.

-- BERNAMA