Dividen Pelaburan Kerajaan Persekutuan Meningkat Kepada RM39.547 Bilion Pada 2025 - LKAN
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan menerima dividen pelaburan berjumlah RM39.547 bilion pada 2025, meningkat sebanyak RM535 juta atau 1.4 peratus berbanding RM39.012 bilion pada 2024.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, dividen itu diterima daripada 20 syarikat dan dua badan berkanun berbanding 21 syarikat dan dua badan berkanun pada tahun sebelumnya.
“Pada 2025, dividen tertinggi disumbangkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sejumlah RM32 bilion manakala Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan peningkatan ketara pembayaran dividen sebanyak RM2.400 bilion,” menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.
Berdasarkan laporan tersebut, dividen BNM meningkat kepada RM5.25 bilion pada 2025 daripada RM2.85 bilion pada 2024 manakala dividen Khazanah Nasional Bhd meningkat kepada RM2 bilion pada 2025 daripada RM1 billion pada 2024.
Jumlah dividen badan berkanun meningkat sebanyak 81.8 peratus kepada RM5.275 bilion daripada RM2.902 bilion manakala jumlah dividen syarikat menurun sebanyak 5.1 peratus kepada RM34.271 bilion daripada RM36.109 bilion.
“Secara keseluruhannya, terimaan dividen daripada sembilan syarikat dan satu badan berkanun berjumlah RM7.433 bilion berbanding RM3.982 bilion pada 2024, iaitu meningkat sebanyak RM3.451 bilion (86.7 peratus).
"Bagaimanapun, terimaan dividen daripada 12 syarikat dan satu badan berkanun menunjukkan penurunan pada 2025 berbanding 2024 manakala tiga syarikat membayar dividen pada jumlah yang sama bagi kedua-dua tahun tersebut," menurut laporan itu.
Mengenai pelaburan, laporan itu memaklumkan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) memegang pelaburan dengan nilai buku berjumlah RM34.117 bilion pada 2025, berkurangan sebanyak RM131 juta atau 0.4 peratus berbanding RM34.248 bilion pada 2024.
“Penurunan ini adalah disebabkan oleh penebusan Redeemable Cumulative Preference Shares (RCPS) milik MKD dalam Syarikat Bekalan Air Selangor berjumlah RM131.00 juta dan penebusan keseluruhan saham MKD sebanyak RM1.00 dalam syarikat HICOM Holdings Bhd,” menurut laporan itu.
Secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan mempunyai pegangan dalam 109 syarikat, empat badan berkanun dan satu agensi antarabangsa, dengan kategori syarikat mencatatkan nilai RM33.103 bilion atau 97 peratus daripada keseluruhan RM34.117 bilion.
Laporan itu turut menyatakan nilai buku pelaburan Kerajaan Persekutuan dalam Bank Pembangunan Malaysia Bhd bertambah sebanyak RM1.517 bilion disebabkan oleh pengambilalihan saham oleh MKD secara pertukaran melibatkan saham MKD dalam Export-Import Bank of Malaysia Bhd dan Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd.
-- BERNAMA