HDC Lantik Hanisofian Alias Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC) melantik Hanisofian Alias sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) berkuat kuasa 1 Okt, 2026, selepas beliau berkhidmat sebagai CEO interim sejak Januari tahun ini.
“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pegawai pembangunan industri HDC, dengan tanggungjawab merangkumi tadbir urus industri, pembangunan industri dan pasaran, daya saing sektor, pengurusan pengetahuan serta kerjasama antarabangsa,” menurut HDC dalam kenyataan hari ini.
Berbekalkan pengalaman luas dalam pembangunan industri halal dan pengurusan sektor swasta, Hanisofian telah berkhidmat dengan HDC sejak 2008 dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem halal Malaysia serta inisiatif organisasi dalam bidang industri dan kerjasama antarabangsa.
Sebelum menyertai HDC, beliau berkhidmat selama 13 tahun dengan sebuah syarikat multinasional, dengan pengalaman dalam pembangunan produk baharu, operasi pembuatan, pengurusan kualiti pembekal dan pengurusan projek inovatif, termasuk inisiatif berkaitan peningkatan kualiti, produktiviti dan kecekapan kos.
Hanisofian memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam bidang Elektronik dari University of Manchester, United Kingdom.
HDC memaklumkan pelantikan Hanisofian sebagai KPE memberikan kesinambungan kepada usaha berterusan HDC dalam memperkukuh ekosistem halal Malaysia serta menyokong pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030, khususnya dalam meningkatkan daya saing industri, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), akses pasaran, pelaburan serta kerjasama antarabangsa.
Dalam pada itu, HDC kekal komited untuk memperkukuh peranannya di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam membangunkan ekosistem halal yang bersepadu dan berdaya saing, di samping menyokong pemain industri halal Malaysia mengembangkan pasaran di dalam dan luar negara.
-- BERNAMA