BERITA TERKINI   JPJ sedia kaunter Mobile JPJ di KSAB, BSI mudahkan urusan pembayaran saman melibatkan bukan warganegara - Loke | MOT, JPJ akan ambil tindakan perundangan bagi mendapatkan keseluruhan tunggakan daripada Kumpulan MYEG - Loke | Kumpulan MYEG gagal langsai tunggakan pindahan kutipan hasil kerajaan sebanyak RM314 juta sejak 19 Mei hingga 30 Sept 2026 - Loke | Aplikasi MyJPJ akan diperkasa, ciri baharu dilancar bulan depan - Loke | Polis akan lengkapkan kertas siasatan susulan video tular melibatkan Ketua Pengarah AKPS di KLIA - Saifuddin Nasution | 

Biodiesel B15 Jimat Penggunaan Diesel Petroleum Sebanyak 23.62 Juta Liter Sebulan

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan adunan biodiesel B15 berjaya menjimatkan secara purata 23.62 juta liter diesel berasaskan petroleum sebulan bagi tempoh Jun hingga Ogos.  

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelaksanaan itu juga membantu negara mengurangkan kebergantungan kepada bahan api petroleum, mengukuhkan keselamatan tenaga negara serta memanjangkan jangka hayat bekalan diesel sedia ada.

“Penggunaan biodiesel tempatan turut mengurangkan pendedahan negara kepada turun naik harga diesel petroleum di pasaran global, khususnya ketika berlaku ketegangan geopolitik.

Ad Banner

“Keadaan itu berpotensi membantu kerajaan menguruskan perbelanjaan subsidi diesel dengan lebih berkesan, katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang ingin tahu sejauh manakah pelaksanaan biodiesel B15 dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada diesel petroleum yang terdedah kepada ketidaktentuan harga akibat konflik geopolitik.

Mengenai peningkatan kadar adunan biodiesel, Noraini berkata kerajaan menuju ke arah kadar lebih tinggi, namun pelaksanaannya perlu dibuat secara berperingkat berdasarkan kesiapsiagaan, termasuk keperluan menaik taraf logistik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, pendekatan itu mengambil kira harga komoditi, implikasi subsidi dan kelestarian alam sekitar, selain manfaat pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

-- BERNAMA