BERITA TERKINI   Penggunaan AI, ekonomi digital perlu keseimbangan elak isu sosial - Fahmi | Tiada keperluan isi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Petaling Jaya – Pengerusi SPR | Cadangan keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipertimbangkan pada 13 Okt ini - Azalina | Kerjasama FINAS-Jabatan Insolvensi perluas akses penggiat industri kreatif kepada perkhidmatan insolvensi, bantuan guaman dan mediasi - Azalina | Azalina pelawa penggiat industri kreatif teroka potensi Bangunan Sulaiman sebagai lokasi penggambaran | 

AMRO Naikkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi 2026 & 2027 Malaysia, Didorong Pelaburan Pesat AI

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 5 Okt (Bernama) -- Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.1 peratus pada 2026 daripada 4.9 peratus sebelumnya, dan kepada 4.8 peratus pada 2027 daripada 4.7 peratus, didorong oleh eksport dan pelaburan kukuh dalam kecerdasan buatan (AI).

Menerusi kemas kini bulan Oktober bagi Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO), AMRO mengekalkan unjuran inflasi Malaysia pada 2.0 peratus bagi 2026, sambil menaikkan unjuran bagi 2027 kepada 2.2 peratus daripada 2.0 peratus sebelumnya.

Ad Banner

Ketua Ahli Ekonomi AMRO Dong He berkata Malaysia merupakan antara negara di rantau ini yang mendapat manfaat besar daripada kitaran pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI), yang membawa kepada peningkatan unjuran pertumbuhan.

"Perkara penting dalam persekitaran sebegini ialah agar manfaat ini dapat disebarluaskan ke seluruh ekonomi. Justeru, ini merupakan peluang yang baik bagi kerajaan untuk memanfaatkan belanjawan (yang akan datang) bagi memastikan aspek struktur ini diberi perhatian sewajarnya dalam fasa peningkatan kitaran ekonomi ini," katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

AMRO hari ini melancarkan Laporan Kestabilan Kewangan ASEAN+3 2026 dan Kemas Kini AREO bagi bulan Oktober, yang menonjolkan prestasi kukuh rantau ini meskipun berdepan kejutan tenaga akibat krisis di Asia Barat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata AMRO optimis dengam prospek ekonomi Malaysia selagi ia dapat menangani cabaran utama, mengekalkan persekitaran yang mesra pelaburan, serta terus menjalinkan hubungan dengan rakan dagang utama bagi memupuk persekitaran ekonomi yang stabil.

Selain itu, beliau turut menggalakkan Malaysia untuk memanfaatkan peningkatan dalam pelaburan AI bagi menyemak semula skim subsidi negara dan beralih kepada struktur subsidi lebih bersasar.

Sementara itu, laporan AERO mengunjurkan rantau ASEAN+3 berkembang sebanyak 4.1 peratus pada 2026 dan 2027, dengan inflasi masing-masing diunjurkan pada kadar 1.6 peratus dan 1.7 peratus.

He berkata kitaran pelaburan AI di ASEAN+3 menyokong pelbagai aktiviti serantau yang semakin meluas, walaupun permintaan domestik masih tidak sekata.

“Gangguan terhadap bekalan tenaga dan input perindustrian kelihatannya kurang serius berbanding kebimbangan ramai pihak, sekali gus mengehadkan kesan negatif terhadap pengeluaran. Bagaimanapun, kos tenaga dan logistik yang lebih tinggi terus memberi tekanan kepada kuasa beli isi rumah serta kos perniagaan,” katanya.

Pada masa depan prospek pertumbuhan bagi ASEAN+3 bergantung terutamanya kepada permintaan berkaitan AI yang berpotensi sama ada mengukuhkan mahupun mengurangkan eksport dan pelaburan.

Menurut laporan AREO, risiko tambahan yang boleh menyebabkan pertumbuhan perlahan termasuk gangguan tenaga yang berulang di Asia Barat dan fenomena El Nino yang berlarutan, di samping ketidaktentuan pasaran kewangan serta langkah-langkah perlindungan perdagangan yang selanjutnya.

-- BERNAMA