Akaun Belum Terima Kerajaan Persekutuan Turun 1.1 Peratus Tahun Lepas
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Akaun Belum Terima (ABT) Kerajaan Persekutuan mencatat penurunan 1.1 peratus kepada RM102.032 bilion pada 2025 daripada RM103.158 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.
Laporan itu menyatakan penurunan RM1.126 bilion tersebut antaranya disebabkan hapus kira ABT hasil dan faedah pinjaman berjumlah RM1.207 bilion serta fi jaminan RM603 juta yang tidak lagi dilaporkan sebagai ABT.
Daripada jumlah berkenaan, RM50.845 bilion merupakan Pinjaman dan Pendahuluan Boleh Dituntut manakala RM51.187 bilion ialah Pelbagai ABT, masing-masing menurun 1.3 peratus dan 0.9 peratus berbanding 2024.
“ABT pada 2025 mempunyai baki berjumlah RM102.032 bilion terdiri daripada Pinjaman dan Pendahuluan Boleh Dituntut berjumlah RM50.845 bilion dan Pelbagai ABT berjumlah RM51.187 bilion.
“Jadual bayaran balik Pinjaman Boleh Dituntut tidak dipatuhi menyebabkan sejumlah RM8.084 bilion tertunggak dan sejumlah RM578.32 juta dihapus kira. Pelbagai ABT menunjukkan penurunan sejumlah RM0.477 bilion (0.9 peratus) pada 2025 berbanding 2024 yang berjumlah RM51.664 bilion,” menurut laporan itu.
Dalam pada itu, laporan itu turut mengesahkan tunggakan keseluruhan ABT kos pengalihan utiliti adalah berjumlah RM90.50 juta termasuk dalam jumlah tersebut adalah RM30.46 juta kos pengalihan utiliti yang dibiayai oleh Kerajaan yang tidak sepatutnya direkodkan sebagai tunggakan ABT.
Wang Pendahuluan Kepada Kontraktor (WPK) berisiko tidak dapat dikutip semula disebabkan syarikat berkaitan telah digulung atau dibubarkan selain kelemahan dalam penyenggaraan rekod menyebabkan WPK tidak dilaporkan sebagai ABT.
Oleh itu, laporan itu mengesyorkan Kerajaan Persekutuan memperkukuh mekanisme kutipan hasil melalui langkah-langkah yang lebih strategik dan berkesan bagi membolehkan membiayai perbelanjaan pembangunan secara lebih mampan, mengurangkan defisit fiskal serta mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan melalui pinjaman baharu.
Kerajaan Persekutuan disyorkan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih proaktif bagi mempercepat kutipan ABT, mengurangkan tunggakan serta meminimumkan keperluan untuk membuat hapus kira.
-- BERNAMA