Malaysia Perlu Pembaharuan Cukai Tangani Penyusutan Nisbah Cukai Kepada KDNK - Bank Dunia
KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia memerlukan pembaharuan cukai bagi menangani penurunan struktur dalam nisbah hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang menyusut kepada 12.7 peratus daripada 15 peratus pada 15 tahun lepas, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi.
Beliau berkata hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat melebihi 65 peratus daripada KDNK walaupun defisit fiskal telah dikawal; namun, langkah itu belum mencukupi untuk menurunkan nisbah hutang kepada KDNK kepada sasaran 60 peratus menjelang 2028.
"Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat walaupun defisit berjaya dikawal dan kini berada pada 65.2 peratus.
“Kos khidmat hutang juga semakin meningkat, dengan 17 sen daripada setiap ringgit hasil yang dikutip dibelanjakan untuk khidmat hutang," katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi Oktober 2026, di sini hari ini.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 yang dikeluarkan semalam, hutang Kerajaan Persekutuan berada pada paras RM1.32 trilion pada 2025 berbanding RM1.24 trilion pada 2024 manakala hutang berkanun berjumlah RM1.295 trilion, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia.
Apurva berkata walaupun meningkatkan kadar cukai adalah sukar, terdapat beberapa cara untuk meningkatkan hasil cukai tanpa berbuat demikian.
Mengenai pencukaian dan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Jumaat ini, beliau berkata usaha memudahkan sistem cukai korporat bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui penyelarasan struktur cukai akan memberi kebaikan kepada perniagaan.
“Selain itu, apabila sesebuah PKS berkembang dan tidak lagi dikategorikan sebagai PKS, kadar cukai yang lebih menguntungkan sebelum ini akan ditarik balik secara tiba-tiba. Kami menamakan keadaan ini sebagai 'keluk cukai', dan ia mengurangkan insentif bagi PKS untuk berkembang secara rasmi menjadi syarikat yang lebih besar.
"Seperti yang kita sedia maklum, kira-kira 98 peratus syarikat di Malaysia adalah PKS. Mengubah struktur insentif untuk menggalakkan syarikat berkembang sehingga tidak lagi berstatus PKS boleh membantu," katanya.
Beliau berkata belanjawan pada kali ini diharapkan menjadikan sistem cukai yang lebih menyokong pelaburan.
"Secara lebih khusus, pertimbangkan untuk membenarkan pelaburan yang layak, mendapat insentif sehingga 100 peratus daripada kos pelaburan," katanya.
-- BERNAMA