BERITA TERKINI   Menteri Luar diminta hubungi Sekretariat ASEAN untuk selaras mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN susulan keadaan jerebu semasa - PM Anwar | Malaysia sedia beri kerjasama, bantu negara jiran atasi jerebu - Anwar | TUDM, agensi berkaitan laksanakan operasi pembenihan awan hampir setiap hari bagi tangani jerebu - PM Anwar | Tiga beradik maut dalam kemalangan babitkan motosikal bertembung lori di Parit Haji Siraj, Pontian - Polis | Tiga penyakit utama berkaitan jerebu di Johor iaitu URTI, asma dan konjunktivitis menunjukkan pola turun naik - Timbalan Menteri Kesihatan | 

Pulau Pinang Catat RM18.2 Bilion Pelaburan Dalam Sektor Pembuatan AS Sejak 2020

GEORGE TOWN, 8 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang menarik pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM18.2 bilion dalam sektor pembuatan dari Amerika Syarikat (AS) antara 2020 dan separuh pertama 2026, menyumbang 38 peratus daripada jumlah pelaburan AS dalam sektor pembuatan Malaysia.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata keyakinan syarikat AS terhadap Pulau Pinang terus teguh, dengan lebih 100 syarikat AS kini beroperasi di negeri itu.

“Hubungan perdagangan Pulau Pinang dan AS yang kukuh turut diperlihatkan menerusi eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia ke negara itu, dengan 87 peratus bernilai RM177.7 bilion dari Pulau Pinang.

Ad Banner

“Bagi setiap RM10 produk E&E yang dieksport ke AS, hampir RM9 dari Pulau Pinang; yang membuktikan ekosistem perindustrian kita bukan sahaja berdaya tahan malah kekal menjadi pilihan utama pelabur antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Dialog AMCHAM Pulau Pinang 2026 anjuran Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM) Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin, Duta AS ke Republik Tunisia Bill Barsi dan Pengerusi AMCHAM Datuk Timothy Garland.

Chow berkata Pulau Pinang kini melangkaui peranannya sebagai hab pembuatan ke arah membangunkan syarikat semikonduktor tempatan yang mampu berkembang di peringkat global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sehubungan itu, beliau menyeru syarikat AS untuk bekerjasama dengan firma tempatan dalam pembangunan teknologi.

Beliau berkata strategi perindustrian Pulau Pinang akan memfokuskan kepada tiga keutamaan iaitu menarik pelaburan strategik yang mengukuhkan ekosistem, membolehkan syarikat tempatan menyertai rantaian nilai global dan membangunkan kumpulan tenaga kerja yang bersedia dengan kecerdasan buatan (AI) bagi memacu inovasi.

Menurutnya inisiatif seperti Penang Silicon Design @5K+ dan Kampus Automasi, Ujian dan Peralatan (ATE) Malaysia di Pulau Pinang dijangka membantu syarikat tempatan berkembang daripada peringkat pembangunan kepada pengkomersialan, beralih daripada “Made in Malaysia” atau Buatan Malaysia kepada “Made by Malaysia” atau Jenama Malaysia.

“Inisiatif Kampus ATE, yang disokong peruntukan sebanyak RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan membangunkan ekosistem bersepadu bagi membantu penyedia penyelesaian tempatan bergerak ke arah penggunaan oleh pelanggan pertama,” katanya.

Beliau berkata pembangunan infrastruktur termasuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang dan peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga penting bagi memastikan pergerakan orang ramai, barangan dan tenaga kerja yang lebih lancar.

Sementara itu, Garland berkata syarikat AS kekal komited terhadap Malaysia berikutan negara ini terus menawarkan peluang besar dalam keadaan landskap pelaburan global yang semakin berubah.

Beliau berkata syarikat global tidak lagi memilih lokasi pelaburan semata-mata berdasarkan kos, sebaliknya faktor seperti kepercayaan, daya tahan, tenaga, bakat, data dan akses kepada teknologi semakin mempengaruhi keputusan pelaburan dan pengembangan.

“Hubungan komersial yang telah lama terjalin antara AS dan Malaysia terutama di Pulau Pinang telah membuktikan kekuatan kerjasama antara sektor perniagaan dan kerajaan dalam mewujudkan peluang pelaburan.

“Selama lebih 50 tahun, Pulau Pinang menjadi lokasi hubungan komersial AS diuji, dibuktikan dan yang paling penting diperkukuh, dan kerjasama itu berkembang daripada operasi pemasangan awal yang ditubuhkan syarikat AS di Pulau Pinang kepada operasi pembuatan dan teknologi tinggi yang paling maju di dunia,” katanya.

-- BERNAMA