Belanjawan 2027: Kerajaan Cadang Peremitan Duti Setem Bagi Pembiayaan Cakna, P2P
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan peremitan duti setem bagi perjanjian pinjaman atau pembiayaan di bawah Skim CAKNA dilanjutkan dan diperkenalkan semula.
Cadangan itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kontraktor kecil mendapatkan pembiayaan bagi pelaksanaan kontrak kerajaan.
Dalam dokumen Langkah Cukai Belanjawan 2027, Kementerian Kewangan (MoF) memberitahu peremitan duti setem yang melebihi RM10 bagi Skim CAKNA I dicadangkan dilanjutkan selama dua tahun mulai 1 Jan, 2029 hingga 31 Dis, 2030.
Bagi Skim CAKNA II, peremitan itu dicadang diperkenalkan semula bagi perjanjian yang disempurnakan mulai 1 Jan, 2027 hingga 31 Dis, 2030.
“CAKNA I membantu PMKS mendapatkan bayaran lebih awal bagi kontrak kerajaan yang telah disempurnakan manakala CAKNA II membantu kontraktor kecil membiayai kontrak kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta,” jelasnya.
Sementara itu, kerajaan turut mencadangkan peremitan duti setem yang melebihi RM10 bagi perjanjian pembiayaan melalui platform antara rakan setara (P2P) di antara PMKS dengan pelabur mulai 1 Jan, 2027 hingga 31 Dis, 2030.
“Pembiayaan P2P membolehkan PMKS meningkatkan modal perniagaan melalui pinjaman daripada pelabur menerusi platform berkenaan.
“Pada masa ini, pengecualian duti setem 100 peratus diberikan bagi perjanjian pembiayaan P2P melalui platform berdaftar dan diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sehingga 31 Dis, 2026,” menurutnya.
-- BERNAMA