BERITA TERKINI   ACLE: Pohang 0-2 JDT | Lelaki Islam dipercayai lakukan ritual bertentangan hukum syarak ditahan bersama ibunya di Kuala Lumpur, tengah hari tadi. - JAIS | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Sepang, Kuantan, Pekan, Rompin, Tawau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu ditutup esok, 14 Okt - Fadhlina | Jerebu: Sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup esok - Fadhlina | 

Syarikat Bumiputera Perlu Beralih Kepada Pemilik Teknologi, Peneraju Industri - Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Syarikat Bumiputera perlu berkembang daripada pembekal kepada rakan strategik, pemilik teknologi dan peneraju industri, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata syarikat Bumiputera harus memainkan peranan lebih besar dan tidak hanya tertumpu pada peringkat tertentu dalam rantaian nilai, sedangkan teknologi dan pasaran bernilai tinggi dikuasai pihak lain.

"Untuk mencapai matlamat ini, modal sahaja tidak mencukupi. Syarikat memerlukan tadbir urus kukuh, tenaga kerja berkemahiran, keupayaan penyelidikan serta akses kepada pasaran.

Ad Banner

"Di sinilah VentureTECH boleh memainkan peranan melalui pelaburan strategik, membantu syarikat Bumiputera meningkatkan skala perniagaan dan mengukuhkan daya saing," katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Perjanjian VentureTECH Sdn Bhd bersama dengan Hanan Medicare Sdn Bhd dan AgriData Portal Sdn Bhd hari ini.

VentureTECH adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Mohd Shahar turut menegaskan bahawa Syarikat Bumiputera perlu diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada peneraju ekonomi masa hadapan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Dalam konteks tersebut, VentureTECH berpotensi menjadi penghubung penting antara penyelidikan, modal dan keusahawanan.

"Kita memerlukan pelaburan, bukan sahaja membantu syarikat berkembang, tetapi turut membina keupayaan teknologi dan industri untuk jangka panjang," katanya.

Mohd Shahar turut berkata usaha membantu syarikat Bumiputera meningkatkan skala perniagaan juga perlu bergerak seiring dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Sementara itu, Pegawai Bertanggungjawab merangkap Ketua Pegawai Operasi VentureTECH Nizam Mohd Reza berkata fokus VentureTECH adalah terhadap syarikat yang berpotensi membina keupayaan bermakna dalam industri strategik serta mewujudkan impak mampan, melangkaui pertumbuhan syarikat itu sendiri.

"Hanan Medicare dan AgriData Portal mewakili dua laluan berbeza ke arah matlamat tersebut, satu menerusi pembuatan biofarmaseutikal bernilai tinggi dan satu lagi melalui penggunaan teknologi bagi memperkukuh produktiviti pertanian serta akses pasaran," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata peranan VentureTECH melangkaui penyediaan modal, dan syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan Hanan Medispa serta AgriData Portal dalam usaha mereka memperkukuh operasi, membangunkan bakat, membina keupayaan pasaran dan mengembangkan perniagaan secara mampan.

"Akhirnya, kami mahu pelaburan ini menyumbang kepada industri domestik yang lebih kukuh, peluang ekonomi berkualiti serta menjadikan lebih banyak lagi syarikat Malaysia berdaya saing," katanya.

Hanan Medicare dan AgriData Portal merupakan dua syarikat Bumiputera tempatan berpotensi memperkukuh keupayaan Malaysia dalam dua bidang kepentingan strategik negara, pembuatan biosimilar dan keselamatan makanan.

Walaupun beroperasi dalam sektor yang berbeza, kedua-dua syarikat berkenaan sedang membangunkan keupayaan dalam bidang penting secara strategik bagi Malaysia.

Hanan Medicare sedang mengembangkan operasi ke arah pembuatan biofarmaseutikal bernilai tinggi dengan tumpuan kepada produk biosimilar termasuk insulin, manakala AgriData Portal sedang memperluaskan model pertanian bersepadu yang menggabungkan teknologi, pembiayaan, pengurusan ladang dan akses pasaran untuk pekebun kecil di Sabah.

-- BERNAMA