Bursa Malaysia Terus Meningkat Empat Hari Berturut-turut, Belian Harga Rendah Berterusan

Oleh Siti Noor Afera Abu & Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Indeks Bursa Malaysia meneruskan kenaikan untuk hari keempat berturut-turut apabila ditutup tinggi pada Rabu, didorong aktiviti pembelian saham ketika harga rendah dalam saham wajaran tinggi sektor perbankan, dengan pasaran kekal dalam wilayah positif sepanjang sesi dagangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) meningkat 4.37 mata atau 0.26 peratus kepada 1,627.72 berbanding 1,623.35 semasa ditutup pada Selasa.

Ad Banner

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka menokok 0.59 mata kepada 1,623.94, mencatat paras terendah harian pada tahap itu sebelum mencapai paras tertinggi 1,628.01.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 541 berbanding 532 manakala 566 kaunter tidak berubah, 1,216 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.25 bilion unit bernilai RM3.03 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM3.32 bilion pada Selasa.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi kaunter perkhidmatan kewangan, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.75, AMMB Holdings menokok tujuh sen kepada RM6.34 manakala Maybank menambah dua sen kepada RM9.98.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng mengekalkan unjuran positif berikutan pembetulan pasaran baru-baru ini telah menjadikan penilaian beberapa saham mewah terpilih lebih menarik, sekali gus membuka peluang untuk menambah pegangan saham.

Bagi tempoh yang masih berbaki minggu ini, beliau menjangkakan FBM KLCI bergerak mendatar dengan kecenderungan meningkat sederhana walaupun pemulihan dijangka kekal terpilih berikutan penyertaan yang masih lemah dalam pasaran secara keseluruhan.

“Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi suku ketiga 2026 yang akan diumumkan pada Jumaat boleh meningkatkan keyakinan terhadap ekonomi domestik manakala data inflasi Amerika Syarikat (AS) dan prestasi pendapatan korporat akan mempengaruhi minat risiko global,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI dijangka berdepan aktiviti pengambilan untung dalam masa terdekat selepas mencatat kenaikan selama empat sesi berturut-turut, dengan pelabur menumpukan kepada data inflasi AS yang akan diumumkan malam ini.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan isyarat aktiviti pengambilan untung dalam jangka pendek apabila indeks utama itu susut daripada paras tertinggi hariannya hari ini.

"Paras rintangan segera berada pada 1,630-1,640 mata manakala paras sokongan segera ditetapkan pada paras psikologi 1,600 mata, diikuti 1,580 mata," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, MISC meningkat 45 sen kepada RM8.37, IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM8.01, Sunway dan SD Guthrie masing-masing menokok lima sen kepada RM4.45 dan RM5.97 manakala Petronas Chemicals Group melonjak 11 sen kepada RM4.43.

Bagi dagangan aktif, Ecosys yang mula disenaraikan di Pasaran ACE dibuka pada 70 sen iaitu 43 sen melebihi harga IPO sebanyak 27 sen sesaham sebelum ditutup pada 80 sen, dengan peningkatan 53 sen berbanding harga IPO, Top Glove naik 5.5 sen kepada 91 sen, Ni Hsin meningkat 2.5 sen kepada 41.5 sen manakala Zetrix AI susut satu sen kepada 5.5 sen dan JAKS Resources turun setengah sen kepada 14.5 sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific meningkat 84 sen kepada RM42.00, Kuala Lumpur Kepong menokok 46 sen kepada RM21.30, Bus Cap naik 22.5 sen kepada RM1.22, Mentiga Corporation meningkat 21 sen kepada 79 sen manakala Kelington Group menambah 18 sen kepada RM8.68.

Bagi kaunter paling rugi, Samaiden Group susut 28 sen kepada RM2.79, Solarvest rendah 23 sen kepada RM3.87, Fraser & Neave merosot 22 sen kepada RM19.94, Critical Holdings berkurangan 21 sen kepada RM2.61 manakala Dutch Lady Milk Industries menyusut 12 sen kepada RM29.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 meningkat 66.88 mata kepada 17,444.88, Indeks FBM Emas Syariah naik 30.88 mata kepada 12,105.35, Indeks FBM Emas menambah 35.85 mata kepada 12,142.60, Indeks FBM Top 100 meningkat 35.57 mata kepada 11,934.03 manakala Indeks FBM ACE susut 30.10 mata kepada 5,455.25.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.91 mata kepada 180.61, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 58.26 mata kepada 18,824.43, Indeks Perladangan naik 83.85 mata kepada 8,896.97 manakala Indeks Tenaga susut 7.01 mata kepada 828.05.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.81 bilion unit bernilai RM2.60 bilion daripada 2.19 bilion unit bernilai RM2.99 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 808.38 juta unit bernilai RM105.78 juta daripada 860.20 juta unit bernilai RM116.20 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 628.65 juta unit bernilai RM325.60 juta daripada 553.61 juta unit bernilai RM204.73 juta.

Sementara itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 247.65 juta saham di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (278.48 juta), pembinaan (174.06 juta), teknologi (496.08 juta), perkhidmatan kewangan (103.81 juta), hartanah (81.94 juta), perladangan (39.21 juta), amanah pelaburan hartanah (65.89 juta), dana tertutup (116,000), tenaga (122.00 juta), penjagaan kesihatan (163.41 juta), telekomunikasi dan media (23.66 juta), pengangkutan dan logistik (43.45 juta), utiliti (32.57 juta) serta amanah perniagaan (60,300).

-- BERNAMA