Syarikat Telekomunikasi Dijangka Catat Pendapatan Lebih Kukuh Pada Separuh Kedua 2026 - RHB IB
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sektor telekomunikasi Malaysia dijangka mencatatkan pendapatan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2026 dan mengekalkan atau meningkatkan pembayaran dividen, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
RHB IB memaklumkan pendapatan yang lebih kukuh pada separuh kedua 2026 didorong oleh pendapatan mudah alih yang tinggi secara bermusim daripada pengewangan dan pelarasan harga terpilih, penjimatan perbelanjaan operasi yang berterusan dan peningkatan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) Telekom Malaysia Bhd (TM) daripada sumbangan borong yang tinggi.
“Dari aspek kawal selia, kami menjangka rundingan awam berhubung Standard Mandatori mengenai Harga Capaian (MSAP) akan bermula pada suku keempat 2026, dengan pelaksanaannya dijangka pada akhir suku pertama 2027,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Mengenai dividen, bank pelaburan itu menjangka syarikat telekomunikasi akan mengekalkan dan/atau meningkatkan pembayaran dividen mereka berikutan perbelanjaan modal kekal terkawal.
Menurut RHB IB, pihaknya melihat ruang bagi TM untuk mengembalikan lebih banyak tunai kepada pemegang saham berikutan lembaran imbangannya mempunyai tahap hutang rendah, dengan nisbah hutang bersih kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berada pada paras 0.7 kali pada separuh kedua 2026.
TM sebelum ini telah menaikkan nisbah pembayaran dividen (DPR) kepada minimum 75 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang dilaporkan daripada julat sebelumnya sebanyak 40 hingga 60 peratus.
Bank pelaburan itu turut menjangka pembayaran dividen Time dotCom Bhd (TDC) kembali normal susulan inisiatif pengoptimuman lembaran imbangan dan pelan untuk menaikkan nisbah hutang bersih/EBITDA kepada antara satu dan 1.5 kali dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, daripada 0.01 kali pada suku kedua 2026.
Sementara itu, RHB menjangka Maxis Bhd dan CelcomDigi Bhd (CDB) mengekalkan nisbah pembayaran dividen melebihi panduan minimum 75 hingga 80 peratus daripada pendapatan teras.
RHB IB mengekalkan penarafan ‘Neutral’ ke atas sektor telekomunikasi, menyatakan bahawa persaingan sengit dalam pasaran mudah alih dijangka berterusan walaupun pengendali rangkaian mudah alih melaksanakan disiplin harga yang tinggi.
“Kecekapan kos dijangka terus menjadi pemacu utama prestasi pendapatan sektor telekomunikasi, membantu mengurangkan tekanan daripada caj akses 5G yang tinggi.
“Syarikat telekomunikasi talian tetap dan bersepadu, termasuk pemain yang berteraskan infrastruktur, dijangka terus mencatatkan peningkatan pendapatan paling kukuh daripada pemangkin struktur,” menurutnya.
-- BERNAMA