Bursa Malaysia Rendah Setakat Tengah Hari Susulan Aktiviti Ambil Untung
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi Khamis dengan rendah berikutan aktiviti pengambilan untung selepas pasaran mencatat peningkatan selama empat hari berturut-turut sebelum ini.
Pada 12.30 tengah hari, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 5.60 mata atau 0.34 peratus kepada 1,622.12 mata berbanding penutupan Rabu pada 1,627.72 mata.
Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 2.62 mata pada 1,625.10 mata, bergerak dalam julat 1,617.14 mata hingga 1,625.61 mata sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 764 berbanding 236 manakala 444 kaunter tidak berubah, 1,399 kaunter tidak diniagakan dan sembilan kaunter digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.83 bilion unit bernilai RM1.32 bilion.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah susulan data inflasi September bagi Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan, sekali gus meletakkan Rizab Persekutuan AS (Fed) dalam kedudukan sukar.
“Pada masa sama, sektor teknologi turut mendapat kesan akibat tekanan jualan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) berikutan kebimbangan ada syarikat yang mungkin terlalu banyak berhutang hanya untuk merebut peluang daripada ledakan AI,” katanya.
Thong berkata di sebalik aktiviti pembelian saham pada harga rendah yang dijangka berterusan, kemungkinan kenaikan adalah terbatas susulan aktiviti pengambilan untung selepas indeks meningkat 20 mata dalam tempoh tiga hari lepas.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank meraih enam sen kepada RM10.04, IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM8.05, Tenaga Nasional menokok dua sen kepada RM13.00, Nestlé menambah enam sen kepada RM90.72 dan Gamuda naik tiga sen kepada RM4.88.
Kaunter paling aktif menyaksikan Zetrix AI dan Ecosys masing-masing meningkat setengah sen kepada enam sen dan 8.5 sen manakala Ni Hsin naik satu sen kepada 42.5 sen, VS Industry susut setengah sen kepada 33.5 sen manakala Dagang NeXchange merosot 2.5 sen kepada 44.5 sen.
Selain itu, kaunter paling untung dibarisi Fraser & Neave dan Southern Acids masing-masing meningkat 16 sen kepada RM20.10 dan RM3.18, Hong Leong Financial Group meraih 12 sen kepada RM17.76 manakala Analabs Resources dan Kobay Technology masing-masing naik tujuh sen kepada RM1.77 dan RM2.04.
Sebaliknya, Malaysian Pacific Industries mendahului senarai saham paling rugi apabila merosot RM1.82 kepada RM40.18, UMS Integration susut 77 sen kepada RM7.56, UWC Bhd turun 51 sen kepada RM7.22, Kuala Lumpur Kepong turun 40 sen kepada RM20.90 dan Vitrox Corporation kehilangan 32 sen kepada RM10.32.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 susut 216.63 mata kepada 17,228.25 mata, Indeks FBM Emas merosot 75.85 mata kepada 12,066.74 mata, Indeks FBM Top 100 turun 68.75 mata kepada 11,865.28 mata manakala Indeks FBM Emas Syariah menguncup 109.30 mata kepada 11,996.05 mata dan Indeks FBM ACE berkurangan 106.81 mata kepada 5,448.44 mata.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 3.56 mata kepada 177.05 mata, Indeks Perladangan merosot 53.67 mata kepada 8,843.30 mata, Indeks Tenaga menguncup 5.35 mata kepada 822.70 mata manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 4.77 mata kepada 18,819.65 mata.
-- BERNAMA