Kerajaan Perkukuh Sektor Semikonduktor, Pacu Pembangunan Teknologi Tempatan
By Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan berhasrat melaksanakan pendekatan menyeluruh melibatkan semua kementerian dan agensi bagi membantu sektor semikonduktor memacu lebih banyak teknologi tempatan serta memperkukuh kerjasama dengan negara lain.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata kerjasama antara pasaran modal atau sektor kewangan dengan industri teknologi juga perlu diperkukuhkan bagi melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang memiliki teknologi sendiri, khususnya dalam sektor tersebut.
“Sektor semikonduktor merupakan sektor yang amat penting kerana telefon, jam tangan, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) semuanya memerlukan teknologi semikonduktor,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor 2026 (AiSEM@Selangor) di sini hari ini.
Liew berkata ia selaras dengan hala tuju pembangunan industri negara yang digariskan menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Beliau berkata Malaysia kini perlu beralih daripada pendekatan ‘Make in Malaysia’ kepada ‘Make by Malaysia’ bagi membolehkan lebih banyak syarikat tempatan membangunkan serta memiliki teknologi sendiri.
Sementara itu ketika berucap, beliau berkata kerajaan berhasrat menerapkan pendekatan keseluruhan kerajaan bagi memperkasa sektor semikonduktor, sambil menyifatkannya sebagai peluang sekali dalam satu generasi untuk membangunkan ekonomi Malaysia agar setanding dengan ekonomi Korea Selatan pada dekad-dekad akan datang.
“Dunia ini merupakan dunia yang penuh dengan konflik geopolitik, jadi kita mesti memastikan bahawa teknologi Malaysia boleh dipercayai, serta teknologi dan ekosistem Malaysia adalah persekitaran yang selamat, selain rakan kongsi yang boleh dipercayai.
“Ini merupakan satu peluang untuk kita semua, dan saya mahu melihat kerjasama yang lebih baik merentasi pelbagai industri, memandangkan AI merangkumi pelbagai industri dan sektor.
“Kita juga mahu melihat lebih banyak kerjasama merentasi negeri dan sektor,” katanya.
Sementara itu, AiSEM@Selangor edisi ke-11 itu berlangsung dari 14 hingga 17 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Ia merupakan antara komponen utama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.
-- BERNAMA