BERITA TERKINI   Semua institusi pendidikan KPM di Negeri Sembilan beroperasi seperti biasa esok - JPNS | Fasa pertama JENDELA 2 di Sarawak libatkan 350 lokasi dengan peruntukan RM545 juta - Fahmi Fadzil | RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini | China mahu perluas kerjasama dengan Malaysia melalui pemindahan teknologi dan pengetahuan - TPM Ahmad Zahid | China sedia teliti pembiayaan bagi projek berimpak tinggi di Malaysia menerusi Exim Bank China - TPM Ahmad Zahid | 

KUSKOP Perkasakan PKS Melalui Sokongan E-dagang Global - Steven Sim

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memperkukuh sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk menembusi pasaran global melalui platform e-dagang, bimbingan berkaitan kawal selia di luar negara dan promosi produk.

Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata inisiatif itu bukan sahaja menyenaraikan produk dalam talian, malah turut membantu perniagaan memenuhi keperluan pasaran luar negara dan menyerlah di tengah-tengah persaingan yang sengit.

“Kami berhasrat membantu perniagaan Malaysia memanfaatkan platform e-dagang global seperti Alibaba untuk membawa produk dan perkhidmatan kita ke seluruh dunia,” katanya ketika merasmikan Persidangan Eksport Enterprise 50 (E50) 2026 di sini hari ini.

Ad Banner

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.

Sim berkata beliau telah membincangkan pendekatan itu dengan Alibaba semasa lawatan ke China baru-baru ini dan menegaskan bahawa e-dagang rentas sempadan perlu membolehkan perniagaan Malaysia menjual produk ke luar negara selain membuka peluang kepada produk luar negara untuk menembusi pasaran domestik.

Menurutnya bantuan berkaitan permit, lesen dan keperluan kawal selia lain akan membantu perniagaan menembusi pasaran luar negara manakala usaha promosi pula akan memastikan produk mereka tetap menjadi  menjadi tumpuan di tengah-tengah jutaan tawaran produk yang bersaing di pasaran.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sim berkata SME Corp Malaysia juga akan menyediakan maklumat, panduan dan ekosistem sokongan termasuk membantu perniagaan kecil memahami serta memanfaatkan perjanjian perdagangan bebas.

Menurutnya eksport PKS berkembang lebih 10 peratus tahun lepas, merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah eksport negara dan membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Namun, apabila kami memaklumkan bahawa anda sudah bersedia untuk mengeksport, kami tidak akan membiarkan anda berjuang sendirian,” katanya.

Menurut Sim KUSKOP kekal komited terhadap kerangka ABCD yang merangkumi peningkatan produktiviti, pengurangan birokrasi, akses kepada modal serta peluasan akses pasaran domestik dan antarabangsa.

Mengenai Belanjawan 2027, beliau berkata keutamaan kementerian adalah mendapatkan lebih banyak sumber untuk perniagaan, mengurangkan kos operasi dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kerajaan bagi membantu mereka bersaing serta berkembang.

Menurutnya sokongan itu seharusnya membolehkan perniagaan berkembang, bukan sekadar bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan bersaing dengan berjaya di pasaran global.

Sementara itu, majlis pertukaran memorandum persefahaman antara SME Corp Malaysia dengan tiga rakan kerjasama iaitu Entrepreneurship Development Company (EDC) Uzbekistan, Lazada Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut diadakan pada Persidangan (E50) 2026.

-- BERNAMA