Pelabur Pusat Data Perlu Tanggung Kos Naik Taraf Talian Penghantaran Elektrik - Johari
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kos menaik taraf talian penghantaran elektrik bagi memenuhi keperluan pusat data akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kos yang ditanggung pelabur, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata pertambahan pusat data berpotensi memberi tekanan kepada infrastruktur talian penghantaran elektrik, sekali gus memerlukan kerja naik taraf bagi memenuhi permintaan bekalan kuasa.
Katanya, Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menasihati pelabur mengenai keperluan naik taraf berdasarkan kapasiti elektrik yang dimohon, dan kos berkenaan akan dimasukkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pelabur.
“Ini strategi kita supaya aktiviti ekonomi sedia ada tidak terjejas dengan kehadiran pusat data,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) di Dewan Rakyat hari ini.
Rodziah meminta penjelasan mengenai jaminan bahawa kos tambahan pembangunan infrastruktur, termasuk bekalan elektrik untuk pusat data, tidak akan membebankan pihak lain.
Johari berkata pengendali pusat data juga perlu membayar caj bagi keseluruhan kapasiti elektrik yang dimohon meskipun penggunaan sebenar lebih rendah.
“Jika mereka memohon kapasiti 200 megawatt (MW) tetapi hanya menggunakan 100 MW, baki 100 MW itu tetap akan dikenakan caj. Jika mereka tidak membayar, kita tidak akan benarkan mereka beroperasi,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Persekutuan akan menyelaras keperluan tenaga pusat data melalui Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan bagi memastikan bekalan elektrik untuk industri lain dan pengguna domestik tidak terjejas.
Mengenai bekalan air, beliau mengingatkan kerajaan negeri supaya berhati-hati ketika meluluskan permohonan pusat data serta memastikan sumber sedia ada mencukupi.
“Setakat ini, penggunaan teknologi untuk mengitar semula air yang telah digunakan merupakan antara syarat yang kita tetapkan,” katanya.
Menjawab soalan asal Rodziah mengenai mekanisme mengukur nilai tambah bersih daripada pelaburan pusat data bernilai RM385.7 bilion yang diluluskan sejak 2021, Johari berkata Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) menetapkan kandungan tempatan minimum 30 peratus bagi setiap pusat data yang dibina.
Beliau berkata strategi meningkatkan penggunaan kandungan tempatan akan menggalakkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan pusat data, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global serta mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.
Ini termasuk pelayan, sistem integrasi, sistem penyejukan dan sistem elektrik, katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata sumbangan pusat data kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat daripada RM900 juta pada 2021 kepada RM14.1 bilion pada 2025, berdasarkan anggaran Bank Negara Malaysia.
Peningkatan itu mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi daripada pembinaan dan operasi pusat data, perbelanjaan utiliti serta penggunaan peralatan dan barangan tempatan dalam kerja pembinaan, katanya.
-- BERNAMA