BYD Sime Darby Motors Sedia Sembilan Kenderaan Elektrik Untuk Transport Expo Asia 2026
PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- BYD Sime Darby Motors menyediakan sembilan kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong penganjuran Transport Expo Asia (TXA) 2026 sekali gus membolehkan para perwakilan antarabangsa merasai sendiri teknologi mobiliti elektrik syarikat berkenaan.
Pengarah Urusan BYD Sime Motors Adeline Lew berkata kerjasama sebagai rakan kenderaan rasmi ekspo itu memberi peluang kepada BYD untuk mempamerkan kualiti dan kebolehpercayaan kenderaannya selain menyokong pembangunan ekosistem mobiliti elektrik Malaysia.
“Kami menyediakan sembilan kenderaan untuk acara ini dengan lapan daripadanya digunakan untuk membawa tetamu VIP bagi memastikan kelancaran perjalanan mereka manakala sebuah lagi akan dipamerkan di ekspo itu.
“Ini juga merupakan peluang bagi kami untuk mempamerkan kualiti dan kebolehpercayaan kenderaan BYD serta membolehkan para tetamu merasai sendiri teknologi kami,” katanya pada majlis pelepasan simbolik di Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Pengarah Urusan BYD Malaysia Jacob Ma menyerahkan kunci kenderaan kepada Ketua Setiausaha MOT Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan sebagai simbolik peranan MOT sebagai tuan rumah dan pemilik TXA 2026.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd, Anita Jacobson.
Lew memberitahu TXA 2026 merupakan platform penting yang menghimpunkan pemimpin negara, pihak berkepentingan dan peneraju teknologi untuk meneroka inisiatif selanjutnya bagi memajukan ekosistem mobiliti elektrik Malaysia.
“Kami mahu mengambil peluang ini untuk membolehkan para tetamu merasai sendiri kualiti dan kebolehpercayaan kenderaan BYD kami. Ini juga memberi peluang kepada kami untuk mempamerkan kenderaan serta membolehkan mereka merasai sendiri teknologi BYD,” katanya.
Daripada sembilan kenderaan itu, lapan akan digunakan untuk membawa penceramah dan perwakilan antarabangsa antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hotel rasmi rakan kongsi iaitu Hyatt Regency Kuala Lumpur dan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Sebuah BYD ATTO 3 pula akan dipamerkan di ekspo berkenaan.
Kumpulan kenderaan itu terdiri daripada sebuah BYD SEALION 7, tiga BYD ATTO 3, tiga BYD SEAL 6 dan dua kenderaan DENZA D9.
Kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan ulang-alik itu akan dipandu oleh petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi lain di bawah MOT seiring dengan penekanan acara itu terhadap aspek keselamatan jalan raya dan profesionalisme.
Sementara itu, Jana Santhiran berkata menyambut penceramah dan perwakilan antarabangsa menggunakan kenderaan elektrik yang dipandu oleh kakitangan kementerian merupakan bukti praktikal komitmen MOT terhadap mobiliti yang lebih bersih dan selamat.
Ma pula menyatakan TXA 2026 menyediakan platform bagi pemimpin kerajaan dan pihak berkepentingan industri bertukar-tukar pandangan mengenai masa depan mobiliti.
“Mobiliti elektrik kini sedang membentuk masa depan yang lebih bersih dan mampan serta ia penting bagi pihak berkepentingan yang mempunyai aspirasi sama untuk bersama-sama meneroka langkah bagi memajukannya,” katanya.
TXA 2026 yang bertemakan “Future on the Move: Accelerating Next-Gen Transport” akan berlangsung di MITEC dari 20 hingga 22 Oktober.
Ekspo berkenaan dianjurkan oleh MOT dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn Bhd sebagai rakan strategik yang akan menghimpunkan pemimpin kerajaan, inovator serta pemain industri daripada sektor logistik, mobiliti dan infrastruktur.
-- BERNAMA