Pepper Labs Perluas Penawaran Penyelesaian AI, Santuni Lebih 400,000 Peserta Pembelajaran
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pepper Labs Sdn Bhd, yang telah menyokong pembelajaran kecerdasan buatan (AI) lebih 400,000 individu di seluruh Malaysia, kini memperluas perniagaannya kepada penyelesaian AI, berteraskan pengalaman dalam pembangunan bakat dan pemerkasaan komuniti.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan peluasan berkenaan akan memberi tumpuan kepada penyelesaian AI beragen (agentic AI) bagi transformasi sektor awam serta platform AI berdaulat yang dibangunkan khusus berdasarkan keperluan data, aliran kerja, bahasa dan tadbir urus organisasi di Malaysia.
Langkah itu menggabungkan pembangunan bakat AI dengan pelaksanaan teknologi bagi membantu organisasi mengenal pasti aplikasi AI berimpak tinggi, mempersiapkan pekerja serta membangunkan, melaksanakan dan memperluas penggunaan penyelesaian AI yang sedia digunakan dalam operasi sebenar.
Pengarah Urusannya Thanaselan Rajendran berkata Malaysia perlu membangunkan keupayaan tempatan untuk mereka bentuk, membangunkan, mentadbir dan memperluas penggunaan penyelesaian AI yang memenuhi keperluan institusi serta ekonomi negara.
“Malaysia bukan sekadar memerlukan lebih ramai pengguna kecerdasan buatan. Kita juga perlu membangunkan keupayaan tempatan untuk mereka bentuk, membina, mentadbir dan memperluas penggunaan penyelesaian AI yang memenuhi keperluan institusi serta ekonomi kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata peluasan perniagaan itu mencerminkan komitmen Pepper Labs untuk membangunkan teknologi di Malaysia oleh rakyat Malaysia.
“Kami membangunkan sistem AI praktikal yang memahami aliran kerja tempatan, beroperasi mengikut keperluan penempatan dan penyimpanan data dalam negara serta menghasilkan nilai yang boleh diukur untuk penjawat awam, perniagaan dan komuniti.”
Pepper Labs memaklumkan pencapaian melibatkan lebih 400,000 peserta pembelajaran itu direalisasikan menerusi pelbagai inisiatif, termasuk AI Ready Malaysia, AI for My Future Malaysia, Google Gemilang serta program yang dilaksanakan melalui rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), termasuk kerjasama dengan Amazon Web Services (AWS).
Berbekalkan jangkauan itu, syarikat berkenaan kini menghubungkan pembangunan bakat AI secara inklusif dengan penerapan teknologi secara praktikal dalam kalangan komuniti, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta sektor awam.
Menurut syarikat itu, kerjasama dengan Microsoft, AWS dan Google turut memperkukuh aksesnya kepada teknologi AI, infrastruktur awan, kepakaran teknikal serta kandungan pembelajaran yang diiktiraf industri.
Peralihan daripada pembelajaran kepada pelaksanaan teknologi itu turut dicerminkan menerusi usaha syarikat membangunkan penyelesaian AI beragen untuk kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun.
-- BERNAMA