BERITA TERKINI   Projek Residensi Siswa Universiti Malaya mesti bebas ketirisan, tonjol nilai MADANI - PM Anwar | PM Anwar akan pantau sendiri Projek Residensi Siswa Universiti Malaya, mahu ia disiapkan lebih awal dari jadual | Persiapan MAHA 2028 dimulakan seawal Januari tahun depan, termasuk meneliti cadangan penambahbaikan -- Mohamad Sabu | Semua institusi pendidikan KPM di Negeri Sembilan beroperasi seperti biasa esok - JPNS | Fasa pertama JENDELA 2 di Sarawak libatkan 350 lokasi dengan peruntukan RM545 juta - Fahmi Fadzil | 

Maybank Indonesia Pertimbang Tambah Mata Wang Ringgit Dalam Perkhidmatan Kiriman Wang Pantas

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 15 Okt (Bernama) -- Maybank Indonesia sedang mempertimbangkan penggunaan ringgit Malaysia untuk fasa seterusnya dalam perkhidmatan kiriman wang pantas yang baru dilancarkan, dengan Malaysia sudah disenaraikan sebagai antara destinasi berpotensi ketika bank itu memperluas keupayaan pemindahan wang antarabangsa.

Ketua Perbankan Digital Maybank Indonesia Charles Budiman berkata perkhidmatan kiriman wang pantas itu diperkenalkan secara berperingkat, dengan pilihan awal mata wang yang disokong adalah berdasarkan permintaan pelanggan sedia ada.

Ad Banner

“Ia berada dalam senarai kami, lebih-lebih lagi memandangkan kami juga merupakan syarikat Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditanya sama ada Malaysia mungkin menjadi antara negara seterusnya yang dimasukkan ke dalam perkhidmatan berkenaan.

Charles ditemui pada majlis pelancaran perkhidmatan itu yang diperkenalkan melalui aplikasi M2U ID hasil kerjasama dengan penyedia infrastruktur pembayaran global, Nium. Perkhidmatan itu menawarkan kiriman wang pantas menggunakan lima mata wang iaitu dolar Singapura, dolar Australia, pound Britain, euro dan dolar Hong Kong.

Sementara itu, Pengarah Teknologi Maklumat (IT) dan Digital Maybank Indonesia Bambang Irawan berkata ciri-ciri kiriman wang pantas itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha bank berkenaan untuk memperkukuh asas keterhubungan kewangan global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Seperti yang kita semua maklum, aktiviti masyarakat hari ini semakin saling berkait merentasi sempadan negara. Begitu juga dengan keperluan kewangan mereka. Oleh itu, bank yang relevan ialah bank yang mampu menyokong pelanggan merentasi sempadan negara dengan cara yang pantas, telus, selamat dan sudah tentu pada kos yang berpatutan.

“Itulah yang mendorong kami memperkenalkan ciri-ciri kiriman wang pantas dalam aplikasi M2U ID. Kami mahu memastikan keupayaan digital Maybank Indonesia dihubungkan dengan rangkaian yang lebih luas,” katanya dalam taklimat di majlis pelancaran perkhidmatan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Tunai Maybank Indonesia Reika Widyadara Indah berkata perkhidmatan itu direka untuk menjadikan pemindahan wang antarabangsa lebih pantas, mudah dan berpatutan, dengan menawarkan pemindahan hampir serta-merta, kebolehcapaian sepanjang masa dan fi transaksi tetap tanpa mengira jumlah wang yang dipindahkan.

Beliau berkata ciri-ciri itu menggabungkan infrastruktur perbankan digital dan hubungan pelanggan Maybank Indonesia dengan rangkaian pembayaran antarabangsa Nium untuk memperkukuh keterhubungan kewangan global.

Bank itu memaklumkan pelancaran berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan perbankan digitalnya yang lebih menyeluruh dan komitmennya untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses, selamat dan memudahkan urusan pelanggan.

-- BERNAMA