Kastam Sabah Tamatkan Transit Kargo Ke Labuan Melalui Pelabuhan Kota Kinabalu
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 15 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah memutuskan untuk menamatkan aturan yang membenarkan kargo dan kontena ke Labuan, transit melalui Pelabuhan Kota Kinabalu sebelum dihantar ke pulau itu menggunakan jalan darat dan feri.
Keputusan itu dibuat ketika kunjungan hormat wakil Dewan Perniagaan Labuan (LCC) dan Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) Sabah kepada Pemangku Pengarah Kastam Sabah Daisun Saibeh @ Edward pada Rabu.
Presiden LCC Daniel Doughty yang menyambut baik keputusan itu berkata aturan transit berpotensi menjejaskan jumlah kargo yang dikendalikan secara langsung melalui Pelabuhan Labuan, sekali gus mengancam daya maju perkhidmatan perkapalan terus ke pulau itu.
Menurut beliau aturan transit itu dilonggarkan ketika pandemik COVID-19 apabila syarat kesihatan yang ketat menyebabkan sesetengah pengendali kapal menghentikan persinggahan di Labuan dan laluan alternatif diperlukan.
“Namun, penggunaan aturan itu secara berterusan selepas keadaan luar biasa berkenaan boleh menjejaskan asas jumlah kargo Labuan berikutan ia penting bagi memastikan perkhidmatan perkapalan terus ke pulau itu kekal berdaya maju dari segi komersial,” katanya kepada Bernama.
Doughty berkata jumlah kargo yang mencukupi penting bagi memastikan perkhidmatan perkapalan terus ke Labuan kekal boleh dipercayai dan berdaya saing, demi kepentingan industri perkapalan, perniagaan, pengguna serta daya tahan ekonomi pulau itu.
Justeru itu, beliau menggesa pemilik kapal, pengendali pengangkutan, penghantar barang dan ejen perkapalan mematuhi ketetapan Kastam, selain menekankan keperluan penyelarasan rapat antara pihak berkuasa dengan pemain industri bagi mengurangkan gangguan kepada perniagaan.
Katanya, industri juga perlu memperkukuh kebolehpercayaan dan daya saing perkhidmatan perkapalan terus bagi memastikan Labuan kekal terhubung dengan baik serta menikmati pengangkutan kargo yang cekap.
-- BERNAMA