Kenya Jadi Pintu Masuk Komoditi Malaysia Ke Pasaran Afrika
JELI, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia menyasarkan pasaran Afrika sebagai destinasi baharu dalam memperluas eksport komoditi negara dengan menjadikan Kenya sebagai pintu masuk utama menerusi misi perdagangan yang dirancang Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada strategi kementerian untuk memperkukuh pasaran eksport komoditi Malaysia, selain mengekalkan kedudukan di pasaran utama seperti India, China dan Kesatuan Eropah (EU).
Katanya kementerian turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan permintaan di India serta memperluas pasaran produk hiliran bernilai tinggi bagi meningkatkan nilai tambah dan daya saing komoditi negara.
“Empat pasaran utama komoditi negara ialah India, Kenya, EU dan China,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Industri Asas Tani 2026 (AGX’26) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Jeli di sini hari ini.
Mengenai perkembangan semasa, Noraini berkata krisis di Asia Barat tidak menjejaskan sektor perladangan negara dan maklum balas daripada delegasi kementerian yang baru pulang dari India menunjukkan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia kekal utuh.
Beliau berkata kementerian akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri dan pekebun kecil bagi memastikan perkembangan pasaran dan cabaran yang dihadapi sektor berkenaan diberi perhatian.
Dalam pada itu, katanya usaha memperluas pasaran eksport dan membangunkan produk hiliran bernilai tinggi adalah penting untuk memastikan komoditi Malaysia terus berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA