Nexgram Lantik Pemegang Saham Utama Henry Cheang Pengarah Urusan Kumpulan
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Nexgram Holdings Bhd mengumumkan Henry Cheang Soon Siang sebagai pemegang saham utama selepas mengambil alih 55.97 juta saham biasa, menjadikan jumlah pegangannya sebanyak 65.97 juta saham, mewakili 6.75 peratus daripada keseluruhan saham mengundi terbitan syarikat itu.
Dalam satu kenyataan hari ini, menurut syarikat itu Cheang yang sebelum ini merupakan pengarah eksekutif turut dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan.
Beliau menerajui usaha pengembangan syarikat dalam bidang infrastruktur kecerdasan buatan (AI), pembangunan bersepadu dan aset yang menjana pendapatan jangka panjang.
Syarikat telekomunikasi dan infrastruktur teknologi maklumat itu menyatakan Cheang memainkan peranan penting dalam membawa Neu Nexus Century City (NNCC) ke dalam saluran pembangunan kumpulan.
“Majlis pecah tanah NNCC pada 29 Jun, 2026 disertai pemeteraian dua memorandum perjanjian dan dua memorandum persefahaman berkaitan mandat pelaburan dengan nilai indikatif agregat kira-kira RM1.23 bilion.
“Terletak di Cyberjaya, projek bersepadu bercampur itu menggabungkan menara korporat, hotel, kemudahan komersial dan gaya hidup sokongan serta dua pusat data AI yang dirancang untuk memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia dan peringkat antarabangsa,” jelas syarikat itu.
Sementara itu, Cheang memaklumkan peningkatan pelaburannya mencerminkan keyakinannya terhadap hala tuju Nexgram serta komitmennya untuk menjana nilai bersama para pemegang saham.
“NNCC menghimpunkan infrastruktur yang diperlukan oleh perniagaan untuk menjalankan pengkomputeran, beroperasi dan berkembang.
“Keutamaan kami untuk merealisasikan peluang itu melalui pelaksanaan yang berdisiplin, mendapatkan pelanggan, menyelaraskan pembiayaan dengan pencapaian penting projek dan membangunkan aset yang mampu menjana pendapatan mampan,” katanya.
-- BERNAMA