Worldwide Holdings Sasar FID Projek Loji Tenaga Nuklear Menjelang 2031
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Konglomerat milik kerajaan negeri Selangor, Worldwide Holdings Bhd sedang membuat persiapan membangunkan loji tenaga nuklear pertama Malaysia, dengan menyasarkan untuk bersedia membuat keputusan pelaburan muktamad (FID) menjelang 2031.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata kumpulan itu sedang mengenal pasti tapak yang sesuai, menilai teknologi yang bersesuaian dan meneroka pilihan pembiayaan untuk projek berkenaan.
“Kami telah mula meneliti aspek pembiayaan untuk projek itu. Kami juga sedang membentuk satu pasukan untuk mengkaji teknologi nuklear dan mengenal pasti tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan bagi menyokong projek itu dari peringkat awal perancangan dan pembangunan hingga pembinaan dan akhirnya beroperasi.
“Diharapkan dalam tempoh lima tahun, kami akan bersedia untuk membuat FID bagi loji nuklear di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai sesi perbincangan panel bertajuk ‘Nuklear – Mari Kita Bincangkan!’, yang dikendalikan oleh Pengarah Serantau Energy Industries Council Syed Saggaf Syed Ahmad pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2026 di sini hari ini.
Mengenai peluang untuk perniagaan Malaysia, Ahmad Zaki berkata pembekal sedia ada kepada industri minyak dan gas serta penjanaan tenaga boleh memanfaatkan kepakaran teknikal dan keupayaan perindustrian mereka untuk memasuki rantaian bekalan tenaga nuklear Malaysia.
“Vendor di Malaysia, termasuk yang bekerjasama dengan penyedia teknologi dari luar negara sebenarnya boleh menyumbang dan memberikan nilai tambah kepada projek berkenaan,” katanya, sambil menambah projek tenaga nuklear itu juga berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.
Menurut Ahmad Zaki, Worldwide Holdings diberi mandat oleh kerajaan negeri Selangor untuk menerajui pembangunan perniagaan tenaga dan ekonomi kitaran, selain segmen perniagaan lain termasuk pembangunan hartanah dan peranti perubatan.
Dalam sektor tenaga, kumpulan itu mengendalikan Loji Jana Kuasa Pulau Indah berkapasiti 1.4 gigawatt, dua loji hidroelektrik kecil di Batang Kali dan Sungai Kerling, serta sedang membangunkan dua lagi loji seumpamanya di Sungai Pangsun dan Sungai Inki.
Kumpulan itu juga sedang melaksanakan beberapa projek tenaga boleh baharu, antara lainnya termasuk loji solar berskala besar berkapasiti 300 megawatt di Bestari Jaya bagi menyokong agenda tenaga hijau Selangor.
-- BERNAMA