Malaysia-Indonesia Meterai Dua Perjanjian Perniagaan Bernilai Lebih US$234,000
JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Dua perjanjian perdagangan dan kerjasama perniagaan bernilai keseluruhan lebih US$234,000 (kira-kira RM984,000) dimeterai antara pihak perniagaan Malaysia dan Indonesia bagi membuka peluang pasaran serta pelaburan baharu di kedua-dua negara.
Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perjanjian itu melibatkan pembekalan produk makanan Indonesia ke Johor dan Pahang, selain kerjasama dalam sektor minyak dan gas, latihan kemahiran serta pelancongan kesihatan.
Kedua-dua perjanjian yang diusahakan dengan kerjasama KJRI Johor Bahru itu dimeterai sempena Trade Expo Indonesia (TEI) 2026 di Tangerang, Indonesia, hari ini.
Perjanjian pertama bernilai US$134,652 (kira-kira RM565,000) melibatkan syarikat Malaysia, MAW Global Trading dan pengeluar makanan Indonesia, CV Berkah Pangan Nusantara dari Jawa Timur.
Menerusi perjanjian itu, MAW Global Trading akan mengimport produk makanan termasuk tepung berperisa, rempah masakan dan bahan perasa untuk dipasarkan di Johor dan Pahang.
Wakil MAW Global Trading, Ahmad Amirul Latepi berkata produk makanan diproses dari Indonesia mempunyai potensi pasaran yang besar untuk dikembangkan di selatan dan pantai timur Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, perjanjian kedua dengan nilai indikatif US$100,000 (kira-kira RM420,000) dimeterai antara Dewan Perniagaan dan Industri (KADIN) Kota Dumai dengan Malay Economic Development Chamber (MEDC) dari Malaysia.
Kerjasama itu bertujuan meneroka peluang pelaburan dan pembangunan perniagaan dalam sektor minyak dan gas, latihan serta pensijilan kemahiran pekerja, selain pelancongan termasuk pelancongan kesihatan.
Pelaksanaan kerjasama itu dijangka bermula dalam masa terdekat, namun tarikh khusus belum ditetapkan. Perbincangan teknikal lanjut antara pihak terlibat akan diadakan bagi memperincikan pelaksanaannya.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S. Widiyanto berkata perjanjian eksport makanan itu berpotensi memperluas pasaran produk Indonesia ke Melaka dan Negeri Sembilan, selain Johor dan Pahang.
Beliau berkata kerjasama antara KADIN Kota Dumai dengan MEDC pula diharap dapat membuka peluang pelaburan baharu dalam pelbagai sektor keutamaan.
Sigit turut menekankan kepentingan tindakan susulan yang terancang bagi memastikan kedua-dua perjanjian itu direalisasikan dan memberikan manfaat ekonomi sebenar kepada Malaysia serta Indonesia.
Katanya, KJRI Johor Bahru akan terus membantu mengatur pertemuan perniagaan dan perbincangan teknikal susulan bagi memperkukuh perdagangan serta kerjasama ekonomi dua hala.
-- BERNAMA