Selangor Perlu Perkukuh Kemahiran Tempatan Untuk Kekalkan Pelabur Asing -- Amirudin
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Selangor perlu mempergiat pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan dan meningkatkan nilai tambahnya bagi memastikan pelabur asing terus kekal dan tidak menjadikan negeri itu sekadar pintu masuk untuk melabur di tempat lain.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menyediakan pelbagai program dan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat sokongan bagi memastikan mereka terus berkembang dan tidak hanya berperanan sebagai penyokong kepada syarikat multinasional (MNC) dan pelabur asing yang melabur di negeri itu.
“Tetapi bukan mudah untuk membangunkan satu ekosistem yang jitu, atau menepati piawaian antarabangsa kerana itu satu cabaran yang besar.
“Sebab itu pembangunan PKS kita (bukan) hanya persoalan tentang modal, tapi kemampuan dari segi sumber manusia,” katanya ketika sesi ‘In Coversation with Datuk Seri Amirudin Shari’ di Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026, di sini, hari ini.
Amirudin turut berharap Selangor mempunyai satu legasi yang akan memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat negeri itu, antaranya ekosistem pembangunan sumber daya manusia yang ditambah baik daripada semasa ke semasa.
Selain itu beliau berkata pihaknya akan cuba memberi fokus kepada penerokaan hasil baharu di negeri itu serta penerokaan teknologi baharu.
“Sekarang masanya untuk kita meneroka sumber tenaga nuklear yang saya kira merupakan tenaga masa depan yang tidak boleh kita abaikan dan amat diperlukan bagi membolehkan Selangor meneruskan momentum pembangunannya,” katanya.
-- BERNAMA