Malaysia Perlu Luaskan Asas Cukai, Tingkatkan Penyasaran Subsidi Hadapi Kejutan Ekonomi – IMF
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Malaysia perlu meneruskan konsolidasi fiskal, meluaskan asas cukai dan menambah baik penyasaran subsidi bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara terhadap kejutan ekonomi pada masa depan, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik IMF Krishna Srinivasan berkata Malaysia dan Brunei merupakan dua negara ASEAN yang mengeksport tenaga dan mendapat manfaat daripada kejutan tenaga baru-baru ini.
Beliau berkata kedua-dua negara itu turut mengekalkan disiplin dalam memastikan kestabilan harga dan integriti fiskal.
“Bagi Malaysia juga, saya berpandangan bahawa meneruskan konsolidasi fiskal, sama ada melalui peluasan asas cukai, pengurangan insentif, pengurangan subsidi atau penyasaran subsidi yang lebih baik, akan membawa manfaat,” katanya pada taklimat media mengenai laporan Tinjauan Ekonomi Serantau Asia dan Pasifik terbaharu IMF yang mengemukakan unjuran terkini, analisis dan saranan dasar bagi rantau itu.
Srinivasan berkata konsolidasi fiskal perlu dilaksanakan oleh negara di seluruh dunia memandangkan ekonomi akan terus berdepan kejutan dan perlu bersedia menghadapi gangguan pada masa depan dengan memperkukuh penampan fiskal.
Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan kestabilan harga, manakala penilaian lebih luas IMF terhadap rantau itu menyoroti keperluan berhemat dalam pengurusan fiskal ketika hutang awam kekal melebihi paras sebelum pandemik dan ruang fiskal semakin terbatas.
IMF memaklumkan daya tahan ekonomi Asia Pasifik disokong oleh pertumbuhan global yang lebih kukuh daripada jangkaan, eksport dan pelaburan berkaitan teknologi, selain kepelbagaian perdagangan serta perdagangan intrarantau yang teguh, meskipun berdepan gangguan berkaitan tarif.
Pertumbuhan eksport meningkat ketara pada separuh pertama 2026, didorong terutamanya oleh produk teknologi susulan peningkatan permintaan terhadap semikonduktor dan pelaburan dalam pusat data, seiring pertumbuhan permintaan bagi infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Bagaimanapun, IMF memberi amaran bahawa daya tahan rantau itu mempunyai batas, dengan risiko termasuk ketegangan baharu di Asia Barat, penilaian semula terhadap keuntungan dan produktiviti berkaitan AI, kelemahan fiskal, peningkatan kos pinjaman kerajaan serta kitaran El Niño yang boleh meningkatkan tekanan fiskal dan inflasi.
Pertumbuhan ekonomi Asia Pasifik diunjurkan menyederhana kepada 4.8 peratus pada 2026 dan 4.4 peratus pada 2027 berbanding 5.0 peratus pada 2025, meskipun rantau itu dijangka menyumbang lebih dua pertiga daripada pertumbuhan global.
Mengenai dasar monetari, IMF memaklumkan bank pusat perlu terus mengutamakan kestabilan harga, menyampaikan komunikasi dasar dengan jelas dan bersedia mengetatkan dasar sekiranya jangkaan inflasi kurang berlabuh atau tekanan inflasi berlarutan.
Bagi sokongan fiskal, IMF menekankan kepentingan melindungi golongan yang terjejas akibat kejutan ekonomi berbanding usaha mengekang harga, di samping mengekalkan kerangka fiskal jangka sederhana yang kukuh.
Srinivasan turut menekankan keperluan melaksanakan reformasi struktur di seluruh Asia Pasifik, termasuk menangani pengangguran belia dan ketidakpadanan kemahiran, menyokong penyesuaian terhadap AI, memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan keselamatan tenaga melalui kepelbagaian sumber dan tenaga boleh baharu, membina semula penampan fiskal serta memperdalam integrasi serantau.
Setakat berita ini ditulis, minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada US$95.16 setong, meningkat 0.07 peratus, manakala minyak mentah Brent susut 1.66 peratus kepada US$104.30 setong.
-- BERNAMA