Belanjawan 2027: Bakat AI, Keselamatan Siber Penting Untuk Daya Saing Malaysia – Kaspersky
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia berpotensi memperoleh kelebihan daya saing sekiranya berjaya membangunkan kumpulan tenaga kerja yang mahir dalam kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, menurut Kaspersky.
Pengarah Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Kaspersky bagi Asia Pasifik Heng Lee berkata langkah itu dapat memastikan aspek keselamatan siber diterapkan sejak peringkat reka bentuk, penggunaan dan tadbir urus model AI, bukannya hanya menangani risiko selepas ia timbul.
“Pelaburan dalam pembangunan bakat sedemikian akan memastikan kemajuan AI Malaysia kekal dipercayai dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pengumuman Belanjawan 2027 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyediaan tambahan 100,000 langganan percuma perkhidmatan AI untuk golongan belia.
Heng berkata Belanjawan 2027 merupakan satu lagi langkah ke arah menjadikan Malaysia Negara AI menjelang 2030.
Beliau berkata peluasan inisiatif langganan perkhidmatan AI kepada tambahan 100,000 belia yang telah menamatkan latihan digital meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang mengiktiraf akses AI sebagai keperluan asas bagi literasi digital dan pertumbuhan ekonomi, seperti Emiriah Arab Bersatu, Korea Selatan dan Singapura.
Bagaimanapun, beliau berkata pembangunan dan penggunaan AI turut membawa risiko yang sebahagiannya masih belum diketahui sepenuhnya.
“Bagi mengelakkan risiko itu sambil memanfaatkan kelebihan AI, keupayaan keselamatan siber perlu berkembang seiring dengan kemajuan AI.
“Ini memerlukan usaha melangkaui kesedaran umum kepada pengukuhan pengetahuan teknikal bagi melindungi persekitaran digital yang semakin kompleks, mengurus risiko baharu berkaitan AI dan membina daya tahan siber merentas organisasi serta sektor,” katanya.
-- BERNAMA